Mahkamah Rayuan benarkan Musa Aman terima rawatan di luar negara

Mahkamah Rayuan benarkan Musa Aman terima rawatan di luar negara

Mahkamah Rayuan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskan sementara pasport bekas ketua menteri Sabah itu untuk membolehkannya ke luar negara menerima rawatan.

Musa Aman hadir di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur hari ini.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman mendapatkan pasportnya buat sementara untuk menerima rawatan di luar negara.

Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Rahman Sebli berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam melaksanakan kuasanya untuk mengetepikan arahan mahkamah rendah yang membenarkan pasport Musa dipulangkan kepadanya sementara.

“Perintah Mahkamah Sesyen kini dikembalikan kerana kami tidak temui sebarang kesilapan dalam undang-undang yang dilakukan hakim perbicaraan dalam melaksanakan budi bicaranya untuk membenarkan tertuduh mendapatkan pasportnya,” katanya dalam keputusan sebulat suara itu.

Hakim lain dalam panel itu adalah Kamardin Hashim dan Zabariah Mohd Yusof.

Pada 16 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan Musa gagal membuktikan rawatan bagi penyakit koronari yang diperlukannya tidak boleh didapati di Malaysia.

Katanya, tiada cadangan dikemukakan Musa yang beliau hanya boleh dirawat di Singapura atau United Kingdom.

Pasukan pendakwaan dalam kes rasuah dan pengubahan wang Musa memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 7 Januari lalu untuk memulangkan sementara pasportnya yang disimpan mahkamah dari 15 Januari hingga 10 Februari lalu, dengan syarat beliau hanya boleh pergi ke Singapura dan London.

Beliau turut mengarahkan Musa memulangkan pasportnya menjelang 11 Februari dan penjamin perlu bertanggungjawab terhadap tertuduh serta mengetahui di mana dia berada sepanjang tempoh itu.

Musa berdepan 51 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang berhubung konsesi balak di Sabah. Perbicaraan kesnya akan bermula 8 Julai tahun depan.

Musa diwakili peguam, Ng Aik Guan dan Amer Hamzah Arshad, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar mewakili Jabatan Peguam Negara.

Amer memberitahu wartawan, Musa perlu menemui doktornya di luar negara dan menetapkan tarikh baru untuk perundingan.

“Syarat ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen sudah dikembalikan,” katanya sambil menambah mereka gembira dengan keputusan hari ini.

Januari lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan beberapa syarat ke atas Musa, termasuk melaporkan diri di Kedutaan Malaysia setiap 3 hari dan Musa perlu memberi alamat di luar negara sebelum mendapat pasportnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.