
Ariff membuat keputusan itu selepas pembangkang meminta beliau menentukan kesesuaian “rompak” yang digunakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataannya di Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu berhubung kutipan GST.
“Saya tak pernah sebut sehingga ini bahawa perkataan ‘merompak’ itu dibenarkan, malah banyak perkataan di Dewan ini seharusnya tidak boleh digunakan,” kata Ariff di Dewan Rakyat.
“Perkataan ‘P’ (p*nd*k), ‘podah’, dan mengajak orang keluar bertumbuk semua menyalahi peraturan mesyuarat.
“Kalau nak petua dari saya: ‘Podah’, ‘P’ (p*nd*k), ‘perompak’, dan ‘komunis’ tidak boleh digunakan. Senarainya amat panjang.”
Larangan ini menyusuli pertelingkahan di Dewan Rakyat melibatkan wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang selepas Ariff memutuskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengelirukan dewan berhubung isu pembayaran balik GST.
Pembangkang bertegas kenyataan Lim yang mendakwa kutipan GST “dirompak” kerajaan dulu ialah satu pembohongan, selepas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam mengesahkan wang kutipan GST tidak hilang.
Ariff bagaimanapun mengumumkan “tiada unsur prima facie bahawa Bagan (Lim) mengelirukan Dewan,” kata Ariff.
Shahidan Kassim (BN-Arau) bangun dan berkata jika Lim tidak mahu menarik balik perkataan itu, dia tidak akan menarik balik perkataan “komunis” terhadap DAP.
“Saya tak akan tarik balik,” katanya.