Presiden PSB Soon Koh letak jawatan dalam Kabinet Sarawak

Presiden PSB Soon Koh letak jawatan dalam Kabinet Sarawak

Presiden Parti Sarawak Bersatu itu akan menemui Ketua Menteri, Abang Johari Openg untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi.

Wong Soon Koh ialah Adun Bawan Assan selama 6 penggal. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang yang juga Menteri Kewangan Ke-2 Sarawak, Wong Soon Koh meletak jawatan dalam Kabinet negeri.

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu berkata, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi kepada Ketua Menteri, Abang Johari Openg dalam pertemuan yang belum ditetapkan tarikh.

Katanya, beliau yang sudah menjadi menteri kewangan ke-2 selama 15 tahun masih ada beberapa hal kewangan untuk dibincangkan dengan ketua menteri sebelum menyerahkan surat peletakan jawatannya.

“Saya tidak boleh pergi begitu saja,” kata Adun Bawan Assan selama 6 penggal itu.

Sabtu lalu, PSB meluluskan resolusi untuk menyokong keputusan Wong kekal atau berundur daripada Kabinet negeri.

Kelmarin, Wong ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan Tahunan PSB berkata, disebabkan kepimpinan negeri memulaukan partinya, beliau berpendapat beliau tiada locus standi moral untuk mewakili parti itu dalam Kabinet negeri.

Beliau dilaporkan berkata, parti itu tidak tahu punca Gabungan Parti Sarawak tiba-tiba bermusuhan dengannya, selepas ia menerima beberapa pemimpin yang meletak jawatan atau dipecat daripada parti komponen GPS.

Semalam, Presiden Parti Rakyat Sarawak, James Masing dilaporkan berkata, Wong sepatutnya nampak tanda amaran “lama dahulu” apabila PSB tidak mendapat dana untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM7 juta setahun.

Katanya, tidak masuk akal untuk Wong meminta ketua menteri menentukan sama ada beliau perlu berundur dari Kabinet negeri.

Wong berkata, ia bukan mengenai beliau meletak jawatan atau tidak, tetapi ia adalah tanda hormat.

Katanya, Abang Johari merasmikan PSB yang dahulunya dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada Januari 2015 dan sekali lagi apabila ia dijenamakan semula sebagai PSB pada Disember 2018.

Mengenai masa depan PSB, Wong berkata, ia mempunyai masa depan cerah dan akan menjadi sebuah “parti bebas”.

Mei lalu, Masing dilaporkan mahu Wong dan Timbalan Presiden PSB, Dr Jerip Susil digugurkan daripada kerajaan negeri.

Sabtu lalu, Susil mengumumkan peletakan jawatannya dalam PSB serta-merta dan akan kekal sebagai wakil rakyat bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Mambong.

Minggu lalu, tiada wakil PSB yang dilantik menganggotai pihak berkuasa tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.