
Menterinya Mohamaddin Ketapi berkata, pendapatan berjumlah RM100 bilion dijangka diperoleh menerusi kemasukan pelancong asing, manakala selebihnya melalui pelancongan domestik.
“Kelantan antara negeri yang dijangka menarik ramai kemasukan pelancong asing ke Malaysia. Kelantan menyasarkan sejumlah 5.5 juta pelancong akan mengunjungi negeri itu pada tahun ini, justeru membantu melonjakkan jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutupan Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2019 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Norliza Rofli; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Md Anizam Ab Rahman dan Timbalan Gabenor Narathiwat Patimoh Sadiyamon.
FKRK mula dianjurkan pada 2017 merupakan 1 daripada 9 program yang tersenarai dalam kalendar pelancongan budaya di 9 negeri bagi menyerlahkan keunikan seni budaya setempat sebagai satu produk pelancongan.
Pada penganjurannya yang lepas, sebanyak RM254,000 pendapatan dijana dengan kehadiran seramai 74,221 pengunjung.
Antara acara menarik yang diadakan pada FKRK kali ke-3 tahun ini adalah pertandingan Rebana Ubi, Kertuk dan Dikir Barat selain persembahan Simfoni Pergendangan Kelantan.
Mohamaddin berkata, kementeriannya sentiasa terbuka untuk menerima cadangan kerajaan negeri dalam usaha menghidupkan seni tradisi negeri masing-masing.
“Kesenian Mak Yong misalnya dibenarkan dipentaskan semula di Kelantan hasil kesepakatan bersama. Kita ucapkan terima kasih kepada Kelantan atas usaha murni memberi nafas baru kepada kesenian Mak Yong dan ia kini boleh disaksikan di Auditorium JKKN Kelantan,” katanya.