
Timbalan Pengarah Pemasangan dan Peralatan Gas ST, Shamsuddin Arshad berkata hanya 427 dobi layan diri direkodkan mempunyai lesen itu dan berdaftar di bawah ST setakat ini.
Di bawah Akta Bekalan Paip 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, mana-mana premis yang menggunakan sistem gas berpaip, khasnya gas petroleum cecair perlu mendapatkan kelulusan dan lesen sah daripada ST sebelum beroperasi.
Shamsuddin berkata, pengusaha seharusnya mengambil iktibar daripada insiden letupan gas di premis dobi layan diri tahun lalu yang menyebabkan kematian dalam 2 kes dilaporkan.
“Tahun lepas ada 2 kes kemalangan gas yang telah dilaporkan kepada ST, iaitu pada 11 April di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur yang mengorbankan seorang pelanggan wanita dan pada 4 Oktober yang mengakibatkan 2 beranak terbakar tubuh badan sebelum si bapa meninggal dunia.
“Kedua-dua kemalangan itu berpunca daripada kebocoran pada pepasangan sistem gas berpaip yang tidak mendapat kelulusan dan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh ST,” katanya kepada Bernama.
Sarawak tidak tertakluk di bawah bidang kuasa kawal selia ST dan tidak diliputi Akta Bekalan Elektrik 1990, selain mempunyai agensi sendiri bagi mengawal selia pembekalan elektrik.
Shamsuddin berkata, tidak seperti premis dobi konvensional yang menggunakan tenaga elektrik untuk proses pengeringan, dobi layan diri menggunakan gas bagi menjimatkan kos.
“Dalam 3, 4 tahun ini dobi layan diri tumbuh seperti cendawan…sebelum ini kami tidak tahu dobi-dobi itu menggunakan sistem gas berpaip kerana semuanya tersorok di dalam…apabila berlakunya letupan pertama ‘pecah rahsia’ mereka.
“Ada premis dobi yang dibuat tidak mengikut spesifikasi standard minimum diperakui ST dan gagal membuat servis dan penyelenggaraan…lama-lama paip berkarat dan kebarangkalian untuk kebocoran itu berlaku ada…bila gas berkumpul dan sampai ke tahap ‘lower explosive limit’ (LEL), ia akan meletup bila suis diketik.”
Shamsuddin berkata, ST dalam proses menerbitkan garis panduan pemasangan sistem gas berpaip kepada premis dobi layan diri bagi membantu pengusaha dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan orang awam tidak terjejas akibat aktiviti pembekalan gas berpaip.
“Dengan adanya garis panduan itu, kita bakal mewajibkan pengusaha menampal kelulusan serta lesen gas, sama seperti menampal lesen perniagaan di premis yang berdaftar di bawah ST…buat masa ini, kita bagi panduan dan kesedaran, akan datang kita akan buat serbuan.”
Beliau berkata, pengusaha dobi yang ingkar mendapatkan kelulusan dan lesen daripada ST boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya.
Katanya, pengusaha atau bakal pengusaha dobi layan diri diingat mendapatkan Kelulusan untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas bagi memastikan reka bentuk sistem paip gas dipasang mengikut piawaian ditetapkan ST serta dapat dikendalikan dengan selamat.