2 beradik rentung di Banting, ketika ibu bapa bantu padam kebakaran di Pulau Indah

2 beradik rentung di Banting, ketika ibu bapa bantu padam kebakaran di Pulau Indah

Salsabila Mohd Fakrul Khair dan adiknya Nur Ain Sumayyah dipercayai terperangkap ketika api menjilat rumah mereka di Banting awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, mayat 2 beradik itu ditemui dalam bilik setelah kebakaran rumah mereka dipadamkan sepenuhnya.
SHAH ALAM:
Dua beradik rentung apabila rumah mereka di Banting, Kuala Langat hangus terbakar awal pagi tadi.

Ketika kejadian ibu bapa 2 beradik itu dikatakan berada di Pelabuhan Klang kerana membantu menyediakan makanan kepada anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata, Salsabila Mohd Fakrul Khair, 16 tahun dan adiknya Nur Ain Sumayyah, 13 tahun dipercayai terperangkap ketika api menjilat rumah mereka pada 2.48 pagi.

“Mayat mereka ditemui dalam bilik oleh anggota bomba dan penyelamat setelah kebakaran dipadamkan sepenuhnya” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Hafisham, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan pada kira-kira pukul 2.48 pagi dan 2 jentera bomba masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA bersama 17 anggota digegaskan ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.

“Ketika sampai api sedang marak membakar rumah yang diperbuat daripada papan itu. Pasukan kami bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran 2 minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya selepas 10 minit,” katanya.

Hafisham berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat 2 beradik itu dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.