
Timbalan Presiden SAPP Edward Dagul berkata, langkah merahsiakan maklumat penting itu daripada rakyat adalah berbahaya kerana empangan mega itu berpotensi membawa bencana kepada penduduk setempat, alam sekitar dan keseluruhan ekosistem kawasan itu.
Dagul yang berasal dari Papar berkata, beliau terkejut dengan kenyataan pengarah Taman Sabah Jamli Nais bahawa beliau tidak maklum tentang lokasi empangan yang dicadangkan itu.
“Taman Sabah bertanggungjawab ke atas taman negara di Banjaran Crocker yang meliputi daerah Penampang dan Papar. Sungai Papar membelah banjaran tersebut.
“Menteri Infrastruktur Peter Anthony mengumumkan bahawa Empangan Papar terletak jauh dari Penampang, di luar sempadan.
“Justeru, satu-satunya sungai di kawasan itu yang boleh membekalkan air kepada empangan bernilai RM3 bilion itu ialah Sungai Papar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Oleh sebab itu kata Dagul, adalah sangat memeranjatkan sekiranya Taman Sabah tidak diberitahu tentang rancangan itu.
Beliau mempersoalkan sekiranya Kabinet Sabah membuat keputusan mengenai lokasi empangan tersebut tanpa merujuk kepada jabatan, agensi dan pegawai kerajaan berkaitan.
Taman Sabah merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, yang menterinya juga merupakan timbalan ketua menteri.
“Bagaimanakah kementerian ini tidak tahu? Lebih-lebih lagi cadangan pembinaan empangan ini mempunyai kesan alam sekitar yang besar. Apakah kementerian sama tidak terlibat?
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa Jamili mengaku tidak tahu sama ada cadangan Empangan Papar akan melibatkan kawasan pemuliharaan Taman Sabah.
Beliau berkata, lokasi Empangan Kaiduan yang dicadangkan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tetapi dibatalkan sekarang, tidak memberi kesan ke atas Taman Banjaran Crocker.
Walaupun mengakui kerajaan telah mengenal pasti lokasi ideal untuk Empangan Papar, namun lokasinya tidak didedahkan. Jumlah penduduk yang terkesan oleh projek itu juga tidak diketahui.
Selain itu maklumat mengenai laporan kebolehlaksanaan juga tidak ada atau sama ada ia telah dijalankan.
Aktivis alam sekitar mempersoalkan sama ada kerajaan telah menjalankan kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) baru ke atas projek mega itu dan menuntut laporan tersebut didedahkan kepada penelitian awam.