
Surat kepada presiden UNHCR itu ditandatangani diplomat 22 negara termasuk Australia, New Zealand, Kanada, Jepun, United Kingdom, Perancis, Jerman, Sweden, Latvia, Lithuania, Estonia, Denmark, Norway, Ireland Utara, Belanda, Iceland, Luxembourg, Sepanyol, Austria, Ireland, Belgium dan Switzerland.
Wilayah Xinjiang di China merupakan kediaman kira-kira 10 juta orang Uighur. Kumpulan orang Islam berketurunan Turki itu, yang membentuk kira-kira 45% daripada populasi Xinjiang, sudah lama mendakwa pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi.
“Kami menggesa China agar menegakkan undang-undang negaranya dan kewajipan antarabangsa serta menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas, termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan, di Xinjiang dan seluruh China.
“Kami juga menggesa China agar tidak melakukan penahanan sewenang-wenangnya dan sekatan terhadap kebebasan pergerakan etnik Uighur dan komuniti Islam serta minoriti lain di Xinjiang,” menurut surat yang ditulis oleh kebanyakan diplomat negara Barat itu.
Surat itu menzahirkan kebimbangan berkaitan laporan mengenai pusat tahanan, pengawasan intensif dan sekatan lain yang menyasarkan etnik Uighur dan minoriti lain di Xinjiang.
Sementara itu, duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Chen Xu menyangkal dakwaan itu dan berkata, surat berkenaan ditulis oleh “sekumpulan kecil negara Barat dan bermotifkan politik.”
Dalam satu laporan pada September lepas, Human Rights Watch mendakwa kerajaan China melaksanakan satu “kempen yang melanggar hak asasi manusia secara sistematik” terhadap umat Islam etnik Uighur di Xinjiang.