
Pengerusi gabungan itu, Salkukhairi Abd Sukor berkata, peminjam PTPTN disenarai hitam oleh Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) ini sudah menunjukkan rekod kredit yang tidak baik.
“Walaupun dalam kes pembelian rumah pertama ini rekod CCRIS tidak diambil kira, ia tidak akan menjadikan seseorang itu bersih dari segi kemampuan kredit mereka.
“Apatah lagi dalam urusan pembelian rumah yang memerlukan seseorang itu mampu menguruskan kewangan dan pinjaman mereka dengan baik dan konsisten dalam jangka yang panjang,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, peminjam PTPTN yang disenarai hitam oleh CCRIS akan dikeluarkan dari senarai itu sekiranya mereka berhasrat membeli rumah pertama.
Zuraida berkata, langkah itu akan dilancarkan pada 18 Oktober depan sewaktu pelancaran skim perumahan belia.

Sebelum ini, mana-mana peminjam PTPTN yang disenarai hitam oleh CCRIS tidak layak membuat sebarang pinjaman bank.
Dalam pada itu, Salkukhairi berkata, jika langkah kerajaan itu dilaksanakan, peminjam juga terdedah kepada risiko rumah yang mereka diberi dilelong jika tidak berkemampuan menjelaskan bayaran hutang dengan pihak bank.
Katanya, langkah kerajaan itu tidak memberi manfaat jangka panjang jika dilaksanakan.
Salkukhairi sebaliknya mencadangkan individu yang mempunyai masalah dalam mengurus hutang diberi bimbingan bagi mengatur dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.
“Ini termasuklah memberi bimbingan dari sudut membetulkan mentaliti dan sikap mereka.
“Bukannya dengan memberi mereka peluang untuk menambahkan lagi hutang jangka panjang seperti hutang pembelian rumah,” katanya.
Beliau berkata walaupun pembelian rumah kediaman satu keperluan, tetapi keperluan lebih utama ialah mengatasi masalah pengurusan hutang.
“Selepas berjaya menguruskan dan menyelesaikan hutang sedia ada dengan baik barulah mereka boleh dipertimbangkan untuk membeli rumah melalui pembiayaan dengan bank.
Sementara itu, pengerusi penganjur Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX), Ng Seing Liong berkata, beliau menyokong langkah kerajaan itu kerana memberi peluang kepada peminjam PTPTN untuk membeli rumah pertama.
Ng berkata, ia merupakan berita positif untuk peminjam yang disenarai hitam oleh CCRIS membeli rumah.
“Mereka patut ambil peluang untuk membeli rumah impian mengikut kemampuan.
“Saya akan sokong mana-mana langkah baik untuk membantu rakyat membeli rumah,” katanya.