
Dalam satu kenyataan semalam, Grab berkata, pelanggan mungkin mengalami penetapan harga lebih dinamik, bergantung pada lokasi dan masa perkhidmatan.
“Apabila lebih ramai pelanggan membuat tempahan berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan pada masa puncak, hari hujan atau tempat lebih terpencil, maka harga tambang akan naik,” katanya di laman web syarikat itu.
Katanya, bergantung pada permintaan, mereka yang biasa menunggu untuk tempoh 5 minit, mungkin terpaksa menunggu hingga 10 minit bagi mendapatkan perkhidmatan itu.
Grab juga berkata, sebagai pengguna, mereka faham kesukaran dihadapi penumpang apabila harga naik.
“Bagaimanapun dengan kemungkinan berkurangnya bilangan pemandu, anda bakal mengalami peningkatan harga dinamik, terutama pada masa puncak atau hari hujan,” kata kenyataan itu.
Katanya, walaupun peraturan baru e-panggilan diumumkan tahun lepas, namun proses mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) hanya diformalkan pada April.
“Sejak itu, Grab bersama-sama dengan pemandu-rakan kongsi kami telah bekerja keras bagi mematuhi peraturan kawal selia itu,” katanya.
Bermula hari ini kerajaan menetapkan semua pemandu e-panggilan perlu memohon lesen PSV, yang turut melibatkan pemandu teksi.
Pemandu perlu mengikuti sesi latihan 6 jam di pusat memandu dan membayar yuran sebanyak RM200 bagi mendapatkan lesen PSV.
Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan kenderaan permulaan dan tahunan di pusat Puspakom, lulus pemeriksaan rekod jenayah dan perubatan, menyumbang kepada Socso, membeli tambahan insurans kenderaan e-panggilan dan melengkapkan kereta dengan peralatan keselamatan, termasuk pemadam api.
Ia dijangka melibatkan kos keseluruhan RM800.
Grab menasihati penumpang supaya membuat tempahan awal dengan berkata, tempahan di luar masa puncak dijangka lebih mudah. Masa puncak biasanya adalah dari 7 hingga 9 pagi dan 5 hingga 8 petang.