Pulangkan RM6 juta bukti Kojadi terima dana 1MDB, kata Guan Eng

Pulangkan RM6 juta bukti Kojadi terima dana 1MDB, kata Guan Eng

Lim Guan Eng memuji sikap Pengerusi Kojadi yang berani mengembalikan dana 1MDB dalam usaha memulihkan koperasi milik MCA itu.

Kojadi didakwa menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk skim kredit mikro yang dibuka kepada belia. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Lim Guan Eng menegaskan koperasi milik MCA menerima dana 1MDB, walaupun Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) berusaha menjarakkan diri daripada terlibat dalam skandal itu.

Menteri Kewangan itu berkata, bukti Kojadi ada kaitan dengan 1MDB apabila ada pihak mengembalikan RM6 juta kepada Yayasan 1MDB yang memberi dana sebanyak RM15 juta kepada koperasi tersebut sebelum ini.

“Berkaitan dengan Kojadi bahawa ia tidak ada kaitan dengan 1MDB itu tidak benar, saya difahamkan wang sebanyak RM15 juta dikeluarkan daripada Yayasan 1MDB melalui satu perjanjian.

“Saya nak sebut Yayasan 1MDB mendapat balik bayaran RM6.1 juta, jadi untuk menyatakan wang yang diterima oleh Kojadi adalah tidak berkaitan dengan 1MDB adalah tidak benar sama sekali kerana akaun Yayasan 1MDB sebanyak RM6.1 juta telah dipulangkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang memintanya menjelaskan berhubung dakwaan pengerusi Kojadi dihalang menyerahkan kembali dana 1MDB.

Lim turut memuji Pengerusi Kojadi Ng Peng Hong yang bertindak berani menyerahkan kembali dana 1MDB yang diterima koperasi milik MCA itu.

“Kita lihat usaha pengerusi Kojadi (yang digantung) untuk memulangkan RM15 juta adalah tindakan berani untuk membersihkan nama Kojadi. Jangan pecat orang yang nak pulangkan wang kepada kerajaan tapi bela mereka yang tidak mahu pulangkan wang rakyat,” katanya.

Presiden MCA Wee Ka Siong, didakwa menghalang perjumpaan Kojadi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dana 1MDB.

Ng mendakwa koperasi berkenaan menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk skim kredit mikro yang dibuka kepada belia.

Katanya, penerimaan dana itu juga tiada kaitan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Wee menafikan tuduhan itu, mengatakan beliau hanya meminta Ng tidak bertindak tergesa-gesa, sebaliknya berunding dengan peguam dan mencapai persetujuan dengan lembaga pengarah sebelum membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.