
Panel 3 hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah serta Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Nallini Pathmanathan membenarkan permohonan kebenaran merayu Lim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 21 Dis 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Perkasa dan 2 media arus perdana untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada Lim kerana memfitnahnya.
Mahkamah Rayuan memutuskan Lim tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau.
Hakim Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) ketika itu berkata mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana berpegang dengan keputusannya dalam kes Utusan Melayu (M) Bhd lawan Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob bahawa pegawai awam tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi masing-masing.
Rohana berkata mahkamah menerima prinsip yang diputuskan dalam satu kes undang-undang Britain, Derbyshire County Council lwn The Times Newspapers Ltd & Others (1993).
Hari ini, Lim hanya meneruskan permohonan kebenaran merayu terhadap Perkasa, Presidennya Ibrahim Ali dan bekas ketua penerangan Perkasa Ruslan Kassim.
Lim menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu terhadap The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd pada 5 Mac lepas selepas kedua-dua media arus perdana itu bersetuju untuk membayar ganti rugi, masing-masing sebanyak RM200,000 kepada menteri itu yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding hari ini, Wong membenarkan permohonan kebenaran merayu Lim atas satu persoalan undang-undang yang akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan semasa rayuan nanti.
Persoalan undang-undang yang dipersetujui oleh semua pihak ialah berkaitan locus standi (hak atau kapasiti dari segi undang-undang) Lim untuk mempertahankan saman dalam kapasiti rasminya.
Persoalannya ialah: “Adakah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Chong Chieng Jen lawan kerajaan negeri Sarawak membenarkan seorang pegawai kerajaan menyaman fitnah dalam kapasiti rasminya yang memgambil kira keputusan kes Derbyshire County Council lwn Times Newspaper Ltd & Others (1993) tidak terpakai di bawah undang-undang Malaysia”.
Lim, yang ketika itu ketua menteri Pulau Pinang, memfailkan saman fitnah pada 2012 terhadap 7 responden, selepas mendakwa Ruslan menerbitkan 1 kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011, yang membayangkan beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.
Pada 26 Mac 2015, Mahkamah Tinggi mendapati NSTP, bekas pengarang Kumpulannya Syed Nazri Syed Harun, Utusan Melayu dan bekas ketua pengarang Kumpulan Abdul Aziz Ishak, Perkasa, Ibrahim dan Ruslan Kassim bertanggungjawab terhadap fitnah berkenaan.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Perkasa membayar RM150,000 manakala NSTP dan Utusan masing-masing membayar RM200,000 sebagai ganti rugi.
Peguam Americk Singh Sidhu mewakili Lim manakala peguam Hussin Mohd Razak mewakili Ruslan dan peguam Adnan Seman mewakili Ibrahim dan Perkasa.