
Jurucakap Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) yang menganjurkan Seminar Mesej Amman, berkata keputusan itu dibuat pengurusan tinggi.
“Ia dibatalkan atas alasan keselamatan, kami dapat arahan pihak pengurusan tinggi,” kata Mohamed Azam Mohamed Adil ketika dihubungi FMT.
Seminar pada 13 Julai itu, yang sepatutnya dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, turut dianjurkan bersama oleh Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) dan firma perundingan Zubedy.
Ahli panel seminar itu termasuk cendekiawan Hashim Kamali yang juga ketua pegawai eksekutif IAIS, ahli akademik, Osman Bakar dan Kamar Oniah Kamaruzzaman serta aktivis sosial terkenal, Chandra Muzaffar.
Penganjur berkata, seminar itu bertujuan mempromosi dan menyebarkan mesej daripada deklarasi pada 2004 dan “membangunkan pelan tindakan praktikal dan boleh dilaksanakan untuk merealiasikan prinsip terasnya”.
Mesej Amman ditandatangani di Amman dengan diketuai Raja Jordan Abdullah II yang menghimpunkan kira-kira 200 cendekiawan Islam dari seluruh dunia yang mewakili pelbagai mazhab.
Dokumen itu mengiktiraf kesahan semua 8 mazhab Islam, termasuk Sunnah, Syiah, Salafi dan Tasawuf.
Personaliti Malaysia yang menandatangani mesej itu termasuk bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan bekas menteri, Khairy Jamaluddin serta Shahidan Kassim.
FMT sedang menghubungi polis untuk mendapatkan butiran pembatalan seminar itu.