Menteri nafi fahaman Syiah tersebar di Parlimen selepas lawatan delegasi Iran

Menteri nafi fahaman Syiah tersebar di Parlimen selepas lawatan delegasi Iran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata kunjungan delegasi Iran ke Parlimen pada 4 Julai lalu tidak bermaksud Malaysia menerima fahaman Syiah.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Iran, Ahmad Salek (2 dari kiri) mengetuai delegasi negaranya melawat Parlimen Malaysia pada 4 Julai lalu. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa hari ini menyangkal dakwaan penyebaran fahaman Syiah di Parlimen seperti tular di media sosial.

Beliau berkata, kunjungan delegasi Iran ke Parlimen pada 4 Julai lalu tidak bermaksud Malaysia menerima fahaman itu.

“Kalau ada Syiah masuk (lawat) Parlimen, apa masalah? Duta Iran pernah beberapa kali datang, apa salah kalau mereka datang Parlimen. Itu (lawatan) tidak menjadikan kita Syiah hanya kerana ada orang Syiah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 4 Julai lalu, Facebook rasmi Parlimen Malaysia memuat naik beberapa gambar delegasi Iran mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

Facebook “Gerakan Anti Syiah Malaysia” kemudiannya berkongsi gambar itu dengan keterangan “semakin rancak Syiah sampai singgah masuk Parlimen” yang dikongsi lebih 2,500 pengguna media sosial.

Mengulas Skuad Badar yang dikatakan mahu berdialog dengannya, Mujahid menyarankan kumpulan itu menemui pihak kerajaan Kedah.

“Kuasa penguatkuasaan agama terletak di negeri. Saya jaga persekutuan. Kami hormati penguatkuasaan daripada penguat kuasa agama supaya tidak berlaku sebarang percanggahan.”

Media sebelum ini melaporkan Skuad Badar bakal membuat kemunculan semula bagi membanteras gejala maksiat dalam kalangan umat Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.