
Latheefa Koya memberi penegasan, beliau tidak akan melayan permintaan dan bantuan dari mana-mana pihak termasuk ahli politik, memandangkan matlamat peribadinya adalah untuk menghapuskan rasuah dalam negara.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes rasuah, mereka boleh terus datang bertemu dengan kita (SPRM). Semua gesaan yang dibuat menerusi media (menyalahkan dan melontarkan tuduhan) hanya akan menyebabkan SPRM dipolitikkan.
“Saya tidak mahu SPRM menjadi ‘punching bag’ kepada ahli politik yang mahu mendapat nama dengan melontarkan tuduhan kepada masyarakat umum. Jika ada aduan tulen, bawa kepada kami dan kita akan bertindak,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama FMT di Ibu Pejabat SPRM.
Latheefa berkata, selain bercakap kepada media, tindakan segelintir ahli politik membuat aduan kepada SPRM menerusi serahan memorandum dan kemudian mengadakan sidang media tidak semestinya akan disiasat, memandangkan tidak semua kes itu merupakan kes yang benar-benar mempunyai unsur rasuah.
Menurutnya, pihaknya hanya akan mengambil tindakan tegas berdasarkan bukti yang kukuh dan tidak akan berpihak kepada mana-mana pihak, termasuk ahli politik daripada pelbagai parti termasuk Pakatan Harapan (PH).
“Untuk membantu mereka (ahli politik), tidak mungkin. Saya tidak rasakan ada mana-mana pihak yang mahu hubungi saya. Berdasarkan reaksi yang anda lihat, saya tidak rasa saya mempunyai rakan karib di Putrajaya,” katanya yang merujuk kepada kritikan segelintir pihak selepas dilantik mengetuai suruhanjaya berkenaan.
Katanya, kebanyakan panggilan telefon diterimanya adalah daripada agensi kerajaan yang menyatakan hasrat untuk terlibat dalam langkah pencegahan dengan suruhanjaya tersebut.
“Sekiranya wujud unsur rasuah, saya akan tanganinya. Itu adalah tugas saya. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan, sekiranya dapat dibuktikan dengan bukti, saya akan siasat,” katanya.
Tiada perubahan drastik
Memandangkan tempoh pelantikannya masih baru, Latheefa berkata sehingga kini masih tidak ada perubahan drastik dilakukannya, namun menjelaskan sedang berusaha menjelaskan fungsi dan tugas sebenar suruhanjaya berkenaan kepada masyarakat awam.
Jelasnya, masih ramai tidak menyedari apakah akan berlaku selepas pengadu memfailkan aduan kepada suruhanjaya berkenaan, memandangkan sering wujud tuduhan mengaitkan SPRM tidak menyiasat kes yang dilaporkan.
“Saya faham perkara berkenaan, kerana wujud jurang maklumat antara apakah yang dilakukan oleh SPRM dan apakah persepsi masyarakat di luar sana,” katanya.
Latheefa menjelaskan, SPRM menerima lebih 100 aduan pada setiap bulan, yang melibatkan laporan bagi pelbagai kes, termasuk kes membabitkan jalan berlubang hinggalah kes melibatkan pihak polis. Namun, selepas tapisan dibuat, terdapat kes yang seharusnya disiasat dan melibatkan agensi berkaitan.
Beliau turut memberi contoh, SPRM turut menerima aduan mereka yang tidak berpuas hati dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bagaimanapun, sekiranya ada isu melibatkan elemen rasuah, ia akan tetap disiasat.
“Kita tidak dapat lakukan banyak perkara berkaitan kes dilaporkan tetapi kita boleh lakukan sesuatu yang membabitkan prosedur. Kita akan berikan cadangan dari pihak suruhanjaya kepada mereka untuk perbaiki. Kita beri DBKL laporan mengapakah prosedur yang mereka lakukan itu merupakan satu masalah,” katanya.
Katanya, masyarakat tidak dibekalkan maklumat sebenar berkaitan operasi SPRM. Menurutnya, semua aduan akan ditapis terlebih dahulu bagi melihat apakah wujud elemen rasuah, dan sekiranya wujud, kod rujukan akan diberikan kepada pengadu selepas kes itu didaftarkan di suruhanjaya berkenaan.
Ketika ditanya, apakah tugas yang paling sukar dan senang untuk dilaksanakan, Latheefa berkata semua perkara yang melibatkan agensi kerajaan adalah perkara baru baginya. Menurutnya, beliau diberikan taklimat hampir setiap hari berkaitan sesuatu perkara.
“Saya rasakan seolah-olah saya kembali semula ke kampus. Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik namun saya perlu memahami operasi agensi kerajaan dengan lebih pantas,” katanya.