
Peguam Liew, Asheeq Ali memberitahu pemberita, Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar menetapkan 26 Julai bagi kedua-dua pihak memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan terkini sama ada mereka boleh menyelesaikan kes di luar mahkamah.
“Sekiranya tiada ketetapan, Mahkamah Tinggi akan meneruskan perbicaraan yang tarikhnya ditetapkan mulai 23 hingga 25 Sept,” katanya semasa ditemui di luar mahkamah selepas pengurusan kes, yang turut dihadiri peguam Sarah Abishegam yang mewakili Azwanddin.
Liew memfailkan saman itu terhadap Azwanddin pada 27 Dis berkaitan hantaran Facebook yang mendakwa timbalan menteri itu sengaja memakai uniform komunis ke acara ketenteraan.
Azwanddin didakwa memuat naik imej dan kapsyen pada 30 Okt lepas.
Ia juga mengenai artikel yang ditulis Azwanddin di laman web JMM pada 19 Nov dengan tajuk “Kementerian Pertahanan kini berada dalam tekanan dan ancaman,”.
Liew menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teladan berjumlah RM20 juta serta injunksi bagi menghalang presiden JMM itu daripada terus menerbitkan artikel sama.