PH setuju rakyat 18 tahun automatik daftar jadi pengundi

PH setuju rakyat 18 tahun automatik daftar jadi pengundi

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda selepas Putrajaya bersetuju membenarkan rakyat berusia 18 tahun ke atas menyertai pilihan raya.

Kabinet pada 19 September 2018 bersetuju dengan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan bersetuju dengan cadangan mendaftarkan warganegara 18 tahun sebagai pengundi secara automatik dan layak menjadi calon pilihan raya.

“Kita bersetuju supaya anak muda berusia 18 tahun berhak mengundi dan mereka didaftarkan secara automatik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Khamis lalu, kerajaan membentangkan usul pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun di Dewan Rakyat, susulan persetujuan Kabinet pada 19 September 2018 terhadap cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Rabu lalu, ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, beliau akan membawa usul persendirian ke Dewan Rakyat dalam masa terdekat untuk meminda Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan warganegara 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pengundi dan layak menjadi calon pilihan raya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda selepas Putrajaya bersetuju membenarkan rakyat berusia 18 tahun ke atas menyertai pilihan raya.

“Rabu ini, Dr Mahathir akan mempengerusikan mesyuarat dengan semua wakil dari parti politik, termasuk dari pihak pembangkang bagi memastikan pindaan tanpa berpihak mana-mana parti dibuat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.