Pertikaian pilihan raya Jasin dibawa ke Mahkamah Persekutuan

Pertikaian pilihan raya Jasin dibawa ke Mahkamah Persekutuan

Pada PRU ke-14, calon BN, Ahmad Hamzah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jasin mengalahkan calon PH, Khairuddin Abu Hassan dan calon PAS, Abd Alim Shapie.

Keputusan Mahkamah Persekutuan akan menjadi duluan dan panduan kepada hakim Mahkamah Pilihanraya.
PETALING JAYA:
Pertikaian sama ada calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Hamzah yang memenangi kerusi Parlimen Jasin tahun lepas mematuhi undang-undang pilihan raya akan diteruskan walaupun Mahkamah Pilihanraya Julai lepas mengetepikan petisyen mencabar keputusannya.

Khairuddin Abu Hassan yang kalah dengan majoriti kecil memberitahu FMT bahawa beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Ia dilakukan atas nasihat peguam saya yang berpendapat bahawa hakim pilihan raya silap dalam keputusannya,” kata beliau.

Bekas pemimpin Umno itu, yang kini menyertai Amanah berkata, Mahkamah Persekutuan harus dibenarkan membuat penghakimannya supaya wujud kejelasan berkenaan undang-undang.

“Penghakiman mahkamah tertinggi juga berperanan sebagai duluan dan panduan untuk hakim Mahkamah Pilihanraya,” katanya.

Pada 12 Jun, Khairuddin berkata, beliau menerima keputusan bahawa pengundi Jasin memilih Ahmad sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat.

Hakim pilihan raya Abu Bakar Jais berkata, Khairuddin gagal membuktikan bahawa percanggahan dalam borang pilihan raya yang dibangkitkan olehnya memberi kesan ke atas keputusan akhir pilihan raya pada 9 Mei 2018.

Ahmad berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jasin dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan Khairuddin dan calon PAS, Abd Alim Shapie.

Beliau memperoleh 26,560 undi berbanding Khairuddin (26,341) dan Alim (8,860).

Dalam petisyennya, Khairuddin mendakwa wujud percanggahan dalam borang kerana beberapa dokumen tidak mempunyai tanda tangan pegawai pengurus pilihan raya, sementara yang lain mempunyai tanda tangan ejen calon.

Beliau juga mendakwa, jumlah kertas undi yang dikeluarkan adalah lebih banyak daripada jumlah undi dibuang.

Khairuddin diperintahkan membayar kos berjumlah RM400,000 kepada Ahmad, Suruhanjaya Pilihanraya dan pegawai pengurus pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.