
Bertemakan “Peneroka Mandiri Felda Lestari”, program itu adalah antara usaha Felda untuk memberi kefahaman kepada para peneroka tentang hala tuju dan peluang yang boleh dilaksanakan melalui model baru itu bagi meningkatkan pendapatan mereka secara konsisten.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan sambutan itu, yang buat pertama kalinya dianjurkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Model perniagaan baru itu diperkenalkan dalam Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada 10 April lalu.
Hari Peneroka Kebangsaan 2019 akan diadakan di Felda Selancar, yang terletak bersempadan daerah Segamat, Johor, dan bakal dimeriahkan dengan kehadiran 10,000 peneroka.
Pengarah Besar Felda Othman Omar berkata, kejayaan peneroka yang terlibat di dalam program pembangunan itu diharap dapat menyuntik semangat lebih ramai lagi peneroka untuk mengambil peluang daripada model perniagaan baru yang diperkenalkan Felda.
“Matlamat utama model perniagaan baru ini adalah untuk membantu peneroka meraih pendapatan tambahan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kelapa sawit.
“Memandangkan harga kelapa sawit kini tidak menentu, para peneroka perlulah mencari inisiatif baharu untuk menjana pendapatan,” katanya semasa melawat tapak sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan di Felda Selancar 3, baru-baru ini.
Beliau berkata, transformasi itu tidak akan berjaya sekiranya peneroka masih dengan sikap lama yang mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti bonus atau “duit raya” sempena Aidilfitri.
“Pemberian duit raya bermakna Felda memberi mereka ‘ikan’ bukannya ‘pancing’,” kata Othman, yang menerajui agensi itu bermula 1 Okt tahun lepas.
Justeru itu, katanya, model perniagaan baru itu akan memberi tumpuan kepada membantu, khususnya kira-kira 17,000 peneroka Felda berpendapatan rendah dan masih dibebani hutang yang tinggi.
“Kumpulan itu bergantung sepenuhnya kepada hasil kelapa sawit, tetapi menanggung hutang yang tinggi, mempunyai anak ramai dan pendapatan tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka,” katanya.
Mengakui bukan mudah untuk mengubah pemikiran kumpulan yang sudah terbiasa mengharapkan bantuan kerajaan, namun, Othman optimis kaedah baru itu dapat menyuntik semangat peneroka untuk menjadi lebih berdaya maju, terutamanya setelah melihat ramai peneroka yang berjaya selepas melakukan transformasi.
Felda akan menjalinkan kerjasama aktif dengan agensi lain seperti Jabatan Pertanian, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi mewujudkan ekosistem lebih lengkap untuk memastikan kejayaan peneroka.
“Menerusi model baru ini, Felda sediakan pelbagai kaedah untuk membantu peneroka menguruskan kebun masing-masing.
“Ini termasuklah menyewakan kebun (bagi peneroka yang tidak berkemampuan menguruskan kebun) atau meningkatkan pendapatan melalui modul yang Felda bangunkan.
Menerusi model perniagaan baru itu, ketidakmampuan kira-kira 70% peneroka yang berumur 56 tahun dan ke atas boleh diatasi apabila mereka diberi pilihan menyewakan tanah masing-masing dalam tempoh panjang, iaitu antara 20 hingga 30 tahun kepada Felda.
Melalui cara itu, mereka tidak lagi perlu meminjam daripada Felda sebaliknya Felda akan membayar sewa kepada mereka pada setiap bulan.
“Apabila kebun disewakan, mereka mempunyai masa untuk menjalankan beberapa inisiatif lain yang dibangunkan dengan bantuan Felda seperti menternak arnab, menanam halia Bentong atau herba misai kucing di kawasan rumah mereka,” katanya.