
Katanya, oleh sebab perkara itu termasuk dalam senarai bersama, maka terserah kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat pindaan bagi mengubah definisi belia.
“Pada masa ini had umur belia di Sarawak ialah 40,” katanya.
Pada Isnin lepas, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan pindaan terhadap Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
Rang undang-undang pindaan itu mencadangkan definisi “belia” adalah mereka yang berumur 30 tahun ke bawah. Seksyen 2 akta sedia ada mentakrifkan belia sebagai mereka yang berumur 15 hingg 40 tahun.
Abang Johari juga berkata, Gabungan Parti Sarawak bersetuju had umur layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.
“Saya tidak fikir ia masalah, melainkan sesetengah orang yang bimbang tentang tahap kematangan.
“Sekiranya dunia membolehkan mereka yang berumur 18 mengundi, jadi tak ada masalah jika kita pun mengikut sama,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri mahu pendaftaran automatik pengundi dilaksanakan.
“Pengundi boleh buat keputusan sama ada mereka mahu mengundi atau tidak, asalkan nama mereka ada dalam senarai.
“Kita perlu bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Sebaik sahaja seseorang mencapai umur 18, mereka perlu didaftarkan secara automatik,” katanya.
Pada Khamis Syed Saddiq membentang rang undang-undang untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi menurunkan umur mengundi untuk bacaan kali pertama.
Bacaan kali ke-2 dijangka dibuat pada 16 Julai depan.