2 pelancong asing, jurulatih selaman maut terkena bom ikan di Semporna

2 pelancong asing, jurulatih selaman maut terkena bom ikan di Semporna

Ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan.

Insiden kematian akibat terkena bom ikan itu berlaku di luar Taman Marin Tun Sakaran, Sabah. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Christina Liew berkata, 2 pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan maut sewaktu menyelam akibat terkena bom ikan di Semporna, semalam.

“Kami sedih untuk melaporkan berlaku insiden pada 5.50 petang di Semporna. Ini sangat menyedihkan kami kerana ia melibatkan pengeboman ikan secara haram yang menyebabkan kematian kepada pelancong dan jurulatih selaman kita.

“Kami telah memaklumkan kepada konsul jeneral China di Kota Kinabalu dan ketua menteri Sabah mengenai tragedi sedih ini. Pegawai Lembaga Pelancongan Sabah akan memantau situasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, insiden itu berlaku di luar Taman Marin Tun Sakaran.

Liew juga menggesa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), polis marin dan Jabatan Perikanan untuk mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pengeboman ikan.

Beliau berkata, penalti yang lebih berat harus dikuatkuasakan oleh pegawai penguat kuasa.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan nelayan tempatan melakukan aktiviti pengeboman ikan sehingga mengakibatkan kematian itu.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi berkata, beliau mahu pihak yang bersalah dikenakan hukuman setimpal dan aktiviti tersebut dihentikan segera sebelum banyak lagi nyawa terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah dilaporkan mengesahkan kejadian tersebut.

Media tempatan melaporkan kejadian didakwa apabila ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Menurut laporan itu, pengendali bot yang membawa mangsa ke lokasi menyelam itu membuat laporan polis.

Mohamaddin berkata, perbuatan dan aktiviti seumpama itu tidak hanya membahayakan pelancong malah akan turut mengganggu ekosistem di perairan tersebut.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan saya sedang menunggu laporan penuh polis berhubung kejadian terbabit.” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata aktiviti bom ikan tersebut bukanlah perkara baru kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memaklumkan kejadian seumpama itu sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.