Singapura mahu kurangkan guna pasir setelah Putrajaya haramkan eksport

Singapura mahu kurangkan guna pasir setelah Putrajaya haramkan eksport

Semalam Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, pasir laut Malaysia adalah untuk kegunaan domestik sahaja.

Pasir merupakan sumber penting kepada Singapura yang melihat kerja penebusan tanah sebagai sebahagian rancangan negara itu menghadapi kesan perubahan iklim. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Singapura berkata ia berusaha mengurangkan pergantungan pada pasir berikutan pengumuman Putrajaya mengharamkan semua eksport pasir laut sejak tahun lepas atas faktor pemuliharaan alam sekitar.

Negara itu meneroka kaedah pembangunan kawasan rendah di pesisir Pulau Tekong yang menggunakan kurang pasir berbanding kaedah tebus guna biasa, kata jurucakap Kementerian Pembangunan Negara Singapura dalam satu kenyataan.

Kerajaan republik itu juga berusaha mempelbagaikan sumber pasirnya bagi menjamin bekalan yang berterusan, katanya lagi.

Kementerian berkenaan memberi respons kepada pertanyaan selepas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, pasir laut Malaysia adalah untuk kegunaan domestik sahaja.

Pengharaman eksport itu tidak akan memberi kesan ke atas hubungan dengan Singapura kerana ia tiada kaitan dengan kerja-kerja tebus tanah negara itu, katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pasir merupakan sumber penting bagi Singapura, yang melihat kerja tebus tanah sebagai sebahagian daripada rancangannya dalam menghadapi kesan perubahan iklim.

Hampir 1/3 negara itu berada hanya 5 meter di atas paras laut. Sejak beberapa tahun ini, pembekal utama sumber tersebut kepada Singapura, termasuk Indonesia dan Kemboja, telah menghentikan eksport bagi mengehadkan kemusnahan alam sekitar.

Eksport pasir sungai dari Malaysia memerlukan kelulusan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Xavier lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.