
Wakil gabungan, Pengerusi Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Kedutaan China enggan menerima memorandum itu atas alasan tidak wajar baginya menerima memorandum daripada kumpulan kecil itu.
“Mereka tidak mahu buka pintu pagar, mereka intai sahaja. Mereka kata ‘takkan kita 1 bilion (orang) nak terima (memorandum) daripada 3 orang?'” katanya.
“Itu memalukan jadi mereka tidak mahu terima memorandum kami,” katanya pada sidang media di depan Kedutaan China.
Terdahulu, lebih 30 orang menunjuk perasaan di depan Kedutaan China, melaung-laungkan “Hidup Uighur” bersama kain rentang “Peduli Uighur” dan “Me Too Uighur”.
Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata mereka memohon untuk menyerahkan memorandum kepada Kedutaan China 3 hari lalu.

Tetapi Kedutaan China menolaknya dengan alasan mereka sudah membawa jabatan kerajaan Malaysia dan NGO melawat Xinjiang untuk melihat keadaan di sana.
“Kita tahu kekejaman di sana. Kita mahu mereka jujur dedahkan kebenaran,” katanya.
Sementara itu, Presiden Abim, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata mereka akan menggerakkan lebih ramai lagi penunjuk perasaan jika China terus berdegil.
Memorandum tersebut mengandungi beberapa tuntutan termasuk menuntut Beijing membebaskan lebih 1 juta etnik Uighur yang dilapor ditahan di kem-kem penahanan di Xinjiang.
Mereka juga mahu Beijing memberi jaminan etnik Uighur yang pulang ke kampung halaman di Xinjiang tidak ditangkap dan ditahan di kem-kem tersebut.
“Kita akan lakukan sehingga keadilan terbela,” kata Raimi.
Azmi pula berkata ramai etnik Uighur takut hendak pulang ke Xinjiang kerana penindasan.
“Misalnya masjid dikunci dan dirobohkan,” katanya, dan menambah mereka akan bertemu kerajaan Malaysia bagi membincangkan isu Uighur.
Ditanya mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkaitan isu etnik Uighir, Azmi meminta pemberita meminta penjelasan daripada menteri sendiri.
“Kita tak mahu ulas,” katanya.
Sebelum ini, catatan Mujahid di Facebook mengundang kecaman orang ramai selepas beliau didapati menggunakan istilah “pusat latihan dan vokasional” bagi kem tahanan yang menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang, dalam lawatannya ke wilayah itu baru-baru ini.
“Sudah pasti Mujahid merupakan mangsa propaganda China Komunis,” kata Dr Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front kepada FMT.
Tidak lama selepas itu, Amnesty International Malaysia menegur Mujahid mengenai “pusat latihan dan vokasional” tersebut, mengatakan mereka tahu secara langsung kem-kem tersebut memaksa Uighur dan kaum berketurunan Turki lain meninggalkan agama mereka.
“Di kem-kem itu, mereka dikenakan indoktrinasi politik, dipaksa meninggalkan agama, dianiaya, dan dalam beberapa kes, didera,” kata Pengarah Eksekutif Shamini Darshni Kaliemuthu.
Majoriti orang Uighur dan kaum berketurunan Turki di China beragama Islam.
Badan hak asasi sekian lama menuduh China bertindak keras terhadap penentangan di Xinjiang dengan alasan melawan ekstremisme umat Islam.
Beijing pernah menafikan pendedahan kem tahanan itu, tetapi kemudian berkata ia adalah “pusat vokasional” untuk “menyelamatkan” orang daripada pengaruh pelampau.