NGO gesa Putrajaya dedah laporan bedah siasat kematian Orang Asli Kuala Koh

NGO gesa Putrajaya dedah laporan bedah siasat kematian Orang Asli Kuala Koh

Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia mengesyaki kematian 15 Orang Asli itu berpunca daripada keracunan bijih mangan akibat aktiviti perlombongan berdekatan penempatan mereka.

Lima belas jenazah Orang Asli suku Batek disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kuala Koh, pada 23 Jun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mendedahkan laporan bedah siasat ke atas 15 Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang yang dilanda wabak demam campak.

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven Chow mengesyaki kematian 15 Orang Asli itu berpunca daripada keracunan bijih mangan akibat aktiviti perlombongan berdekatan penempatan mereka.

Katanya, sehingga kini, kerajaan hanya mendedahkan punca kematian 3 Orang Asli terbabit.

“Ia (laporan bedah siasat) sepatutnya sudah keluar. Ia tidak mungkin selambat ini.

“Bedah siasat (kes) polis pun boleh keluar 24 jam.

“Ia mungkin jangkitan lain, selain jangkitan paru-paru yang mengorbankan Orang Asli itu,” katanya kepada FMT selepas taklimat “Tragedi Kampung Kuala Koh: Malapetaka bakal berlaku” di sini, hari ini, yang turut dihadiri aktivis dan peguam, Siti Kasim.

Media sebelum ini melaporkan 15 kematian membabitkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh sejak 2 Mei lalu. Mangsa korban termasuk 3 bayi dengan seorang daripadanya baru berusia 7 bulan.

Pada 17 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan 3 kematian itu akibat demam campak.

Chow dan pasukannya mula melawat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh sejak November 2014.

Chow berkata, pasukannya ke Kampung Kuala Koh semula April lalu, susulan “penyakit misteri” yang dialami beberapa Orang Asli.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas Orang Asli 3 bulan lalu mendapati mereka menghadapi masalah kekurangan zat makanan dan jangkitan kulit, tetapi tiada tanda-tanda demam campak.

“Kami memeriksa 140 orang, termasuk 4 daripada 15 Orang Asli yang meninggal dunia kemudian,” katanya sambil menambah tahap kebersihan di sana teruk dengan ada doktornya yang terkena jangkitan.

Chow berkata, siasatan pihaknya mendapati Sungai Pertang yang menjadi sumber utama air penduduk Orang Asli Kuala Koh mengandungi 2.5mg/l bijih mangan bersamaan 2,500% berbanding paras biasa.

“Kerajaan perlu periksa kalau ada keracunan bijih mangan dihadapi komuniti itu.”

Sebelum ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dilaporkan menyita lombong bijih mangan di Aring 11 Kuala Koh, Gua Musang sejak 11 Jun lalu.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob pada 30 Jun lalu dilaporkan berkata, syarikat perlombongan itu memiliki lesen yang dikeluarkan kerajaan negeri, tetapi tiada skim kebenaran melombong daripada JMG.

“Kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan kerajaan pusat sudah tamat tempoh pada 2017, namun aktiviti itu masih diteruskan sehingga kini,” katanya dipetik Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.