
Beliau berkata, saham minoriti Umno dalam syarikat itu tidak memberikan sebarang makna memandangkan Media Prima tidak lagi mesra kepada parti Melayu itu.
“Satu keperluan Umno berbuat demikian. Media Prima dah tak lagi dikawal Umno, kalau kita ada saham minoriti pun tak ada makna juga, NST tidak mesra dengan kita juga,” kata Najib di lobi Parlimen hari ini.
Umno mempunyai 123.02 juta unit saham melalui Gabungan Kesturi Sdn Bhd dalam Media Prima.
Semalam, DRB-Hicom Bhd menafikan membeli 11% kepentingan dalam syarikat media tersenarai itu.
Syarikat itu turut menafikan mengambil alih sebanyak 8% saham yang dimiliki oleh Umno.
Dengan pegambilalihan kepentingan Umno dalam Media Prima, Syed Mokhtar menambah penguasaannya ke atas syarikat media tempatan, termasuk TMR Media Sdn Bhd yang menerbitkan The Malaysian Reserve dan Utusan Melayu Bhd.
Memetik sumber, The Edge melaporkan kira-kira RM74 juta nilai saham bertukar tangan Selasa pada harga 60 sen sesaham.
Dalam pada itu, Najib yakin dengan tindakan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali memimpin parti berkenaan setelah bercuti selama 6 bulan.
“Umno memerlukan pemimpin yang banyak pengalaman dan kewibawaan. Zahid boleh mengukuhkan Umno dan boleh memberi kepimpinan yang diperlukan untuk terus memantapkan parti.
“Oleh sebab itu saya sokong Zahid kembali bertugas sebagai presiden parti,” katanya.
Zahid membuat pengumuman untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno pada satu majlis Hari Raya di Perak Ahad lepas bersempena 1 tahun beliau dipilih memimpin parti itu.
Katanya, beliau membuat keputusan tersebut kerana tidak lagi sanggup melihat rakyat dibohongi dan dihina oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH).