
Pembentangan itu dibuat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali ke-2 serta perbahasan RUU itu akan diadakan pada sidang kali ini yang berlangsung selama 18 hari.
Pindaan itu memerlukan sokongan 2/3 atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Parlimen untuk diluluskan.
Sebelum ini Syed Saddiq berkata usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bersifat bipartisan dan mengangkat semangat permuafakatan semua ahli Dewan Rakyat.
Katanya, pindaan usul itu usaha bagi mengutamakan golongan muda yang bakal mencorakkan masa depan Malaysia.
“Usaha menyuburkan demokrasi ini juga mendapat sokongan dan perhatian daripada anggota pembangkang termasuk PAS, Pemuda MIC, Umno Johor, Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz, Khairy Jamaluddin, Bung Moktar Radin.
“Kementerian Belia dan Sukan ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kempen Undi 18 dan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya.
Pada 19 September tahun lalu, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu.
Sekiranya RUU itu diluluskan, had usia mengundi 18 tahun akan dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sebarang langkah untuk melaksanakan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik memerlukan pindaan ke atas Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
“Pendaftaran secara automatik perlukan sedikit pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pindaan ke atas peraturan pilihan raya,” kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.