
Pekerja itu yang ingin dikenali sebagai Zaw, 30, berkata dia hanya mampu menjerit apabila melihat 4 rakan negaranya tertimbus dalam tanah runtuh yang hanya berjarak 2 kaki daripadanya.
Katanya, dia dan 4 yang lain sedang mengikat batang keluli bersama-sama dalam pemegang yang sepatutnya menjadi lajur apabila bumi tiba-tiba bergoncang dan cerun di bahagian atas runtuh.
“Saya fikir ia gempa bumi. Saya melihat mereka tertimbus ke dalam lumpur sekelip mata.
“Saya sangat dekat, hanya kira-kira 2 kaki, saya menjerit meminta bantuan,” katanya ketika ditemui FMT di Kuil Dhammikarama Burma di Pulau Tikus, semalam.
Sekumpulan ibu bapa di pusat pembelajaran di resort yang dilanda tanah runtuh itu mengadakan upacara sembahyang untuk 4 mangsa itu di sebuah kuil.
Upacara itu diadakan oleh sekumpulan sami kuil itu, yang turut disertai mereka yang merakamkan ucapan takziah daripada pusat pembelajaran.
Aung Tung Aye, 49, Nai Cho Inn, 49, Mg Htwe, 38, dan Mg Seng Pya, 38, maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh yang berlaku di cerun bukit yang memisahkan resort dan Jalan Batu Ferringhi, malam Selasa lalu.
Pihak berkuasa berkata siasatan awal berhubung insiden itu menunjukkan pembinaan tembok penahan haram berlaku di bahagian cerun resort itu, yang menyebabkan ia runtuh.
Zaw, yang berasal dari bandar pelabuhan Moulmein, tenggara Myanmar, berkata dia masih terkejut dengan insiden tanah runtuh itu dan mahu pulang ke negara asal.
“Saya tidak boleh tidur. Saya sentiasa memikirkannya, awak tahu. Saya akan pulang, saya akan peluk anak perempuan saya berusia 9 tahun supaya saya dapat melupakan apa yang berlaku,” kata pekerja itu dalam bahasa Melayu.

Apabila ditanya mengenai kerja yang mereka lakukan, Zaw berkata dia tidak pasti, tetapi mereka diberitahu untuk menuang konkrit di bahagian mana yang diperlukan.
Salah seorang ibu bapa yang tidak mahu dinamakan berkata, lelaki Myanmar yang meninggal dalam insiden itu sangat rapat dengan mereka, kerana mereka sudah lama tinggal di sana, sebelum kejadian tanah runtuh berlaku.
Ibu bapa itu berkata sejak bertahun-tahun, mereka menjalin hubungan persahabatan dengan pekerja yang juga tinggal di kawasan peranginan itu, sesetengahnya mempunyai isteri.
Mereka juga prihatin terhadap anak salah seorang pekerja yang meninggal dunia. Budak lelaki itu membesar di resort itu sejak anak kecil, dan kini berusia 5 tahun.
“Selama bertahun-tahun, mereka sangat rapat dengan kami, kerana kami akan menurunkan anak-anak kami dan mereka seolah-olah penjaga resort tersebut.
“Hanya sesi sembahyang yang mampu kami lakukan,” kata ibu bapa itu sambil menambah salah seorang pekerja itu tinggal di resort tersebut lebih 7 tahun.
Seorang lagi ibu bapa yang enggan dinamakan berkata kerja pembinaan adalah “biasa” di kawasan resort dan kebanyakan orang tidak memberi perhatian terhadap apa yang berlaku.
“Saya masih ingat jubin di salah satu bilik darjah retak dan mereka cepat-cepat membaikinya. Seperti kawasan tanah runtuh itu, ia hanya penuh dengan kehijauan dan pokok-pokok, saya tidak pernah menjangkakan ia boleh berlaku kemalangan,” kata ibu bapa itu.
Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Dana Kutalaa Pulau Pinang, kumpulan sokongan pekerja Myanmar, berkata ia akan membantu membakar jenazah 4 pekerja itu di Bukit Gantong Crematorium pada hujung minggu.
Seorang wakil kumpulan berkata ia mendapat kebenaran bertulis daripada kedutaan Myanmar untuk menuntut mayat dari Hospital Pulau Pinang.
FMT menghubungi pihak pengurusan dan pemilik resort untuk mendapatkan komen dan sedang menunggu jawapan mereka.