Pakar HKL tiada pengalaman, guna metodologi salah, saksi beritahu inkues Adib

Pakar HKL tiada pengalaman, guna metodologi salah, saksi beritahu inkues Adib

Dr Shahrom Abd Wahid berkata, laporan punca kematian yang dikemukakan Dr Ahmad Hafizam Hasmi tidak lengkap dan eksperimennya tidak dapat menentukan objek menyebabkan kecederaan anggota bomba itu.

Dr Shahrom Abd Wahid yakin kecederaan di dada Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan tendangan pintu van EMRS.
SHAH ALAM:
Perunding kanan forensik dan patologi di United Kingdom, Dr Shahrom Abd Wahid memberitahu Mahkamah Koroner di sini, metodologi yang diguna pakai pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam eksperimen untuk mengetahui punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah salah.

Beliau menyifatkan eksperimen Dr Ahmad Hafizam Hasmi tidak dapat menentukan objek yang boleh menyebabkan kecederaan Adib.

“Orang yang buat eksperimen ini tiada pengalaman sebab metodologinya salah,” katanya pada hari ke-38 prosiding inkues untuk menentukan punca kematian Adib hari ini.

“Untuk kita buat eksperimen bukan main suka-suka…dia kena tahu konsepnya dan dalam konsep ini, kena tahu objek atau bahagian mana yang paling bersentuhan dengan si mati (yang menjadi punca kecederaan di dada kanan mangsa).”

Saksi ke-29 itu berkata, kejadian yang menimpa Adib adalah kes rumit dan laporan punca kematian yang dikemukakan Hafizam tidak lengkap.

“Untuk saya, kalau kes rumit macam ini tidak lengkap, kena buat ‘complete investigation’…bagi saya laporan ini sekadar memuaskan, tetapi tidak bagus dan cemerlang.”

Shahrom yang juga bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, beliau turut ke lokasi kejadian untuk mendapatkan gambaran sebenar.

Katanya, beliau berbuat demikian selepas melihat keterangan dan laporan berubah-ubah ketika prosiding itu berlangsung.

“Dalam inkues ini, saya tengok laporan dan keterangan (pihak berkaitan) berubah-ubah sebab ada alasan mahu bantu mahkamah.

“Seperti keterangan mula-mula kata arwah jatuh di bahu jalan dekat sini (lokasi pertama dipercayai mangsa jatuh dan cedera), tiba-tiba keluar pula punca di bahu jalan lain.

“Nasib baik saya sudah buat (eksprimen) di kedua-dua tempat. 100% saya tolak bahu jalan sebagai punca (kecederaan)…itu tak masuk akal.”

Dalam inkues hari ini, Shahrom memberitahu mahkamah, beliau yakin kecederaan di dada Adib disebabkan tendangan pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Saya melihat setiap kenderaan yang sama paras atau objek yang bersesuaian dengan kecederaan dialami. Saya dapati hanya objek pada pintu EMRS yang sama dengan kecederaan dialami Adib.

“Saya yakin 80 hingga 90% berhubung kecederaan di dada disebabkan tendangan pintu EMRS.”

Adib yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.