
Kitingan hari ini memberitahu FMT bahawa Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dalam jawapan bertulis kepada soalan Kitingan di Dewan Rakyat berkata, cadangan membatalkan kerahsiaan laporan siasatan nahas udara itu akan diteliti.
Kementerian akan memaklumkan keputusannya kepada Kitingan dan tindakan selanjutnya akan diambil setelah mendapat persetujuan jemaah menteri.
Tragedi “Double Six” merujuk kepada nahas udara melibatkan pesawat GAF N-22B Nomad Sabah Air yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu.
Nahas udara itu mengorbankan semua 11 penumpang termasuk ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephen. Fuad yang memimpin Parti Berjaya baru saja memenangi pilihan raya negeri 53 hari sebelum kejadian.
Beliau dan rombongannya, termasuk 4 menteri serta anak lelakinya, dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dari Labuan tetapi kapal terbang mereka jatuh ke dalam air cetek berhampiran Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau menyambut baik respon positif kementerian dan berharap keputusan akan dibuat pada mesyuarat jemaah menteri seawal mungkin.
“Ini akan memberikan keluarga mangsa dan juga mangsa sendiri, satu kedamaian, akhirnya. Dengan pembatalan kerahsiaan laporan siasatan itu, kebenaran akhirnya akan diketahui.
“Saya juga berharap laporan itu akan menjawab semua isu dan persoalan mengenai tragedi ‘Double Six’,” katanya.
Walaupun Loke tidak secara khusus memberikan tarikh bila keputusan akan dibuat, Kitingan berharap ia akan dilakukan secepat mungkin.
“Saya berharap kerajaan tidak akan mengheret isu ini selama bertahun-tahun lagi. Saya akan menulis surat untuk mengikuti perkembangan perkara ini,” katanya.
Pada ulang tahun ke-43 mengenang mereka yang terkorban dalam kemalangan itu bulan lepas, Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata terpulang kepada kerajaan persekutuan sama ada mahu atau tidak mendedahkan laporan penyiasatan itu.
Beliau mendakwa ramai dalam kerajaan dan pihak pembangkang menyokong cadangan untuk mendedahkan laporan itu tetapi kerajaan persekutuan mungkin mempunyai alasan sendiri untuk tidak berbuat demikian.
Kemalangan itu disiasat oleh pihak berkuasa Australia tetapi laporan “G Bennett – Sabah Air Nomad – Report by Government Aircraft Factories (GAF) investigation team on a crash of Nomad aircraft in Malaysia 9M – ATZ on 6 June 1976” masih dirahsiakan oleh kerajaan Malaysia dan Australia sehingga hari ini.
Di pihak Australia, ia dirahsiakan bawah Perkara 33(1)(a) Akta Arkib negara itu, iaitu maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan, pertahanan dan hubungan antarabangsa Australia.