Singapura masih kawal Pulau Pisang sebab perjanjian 119 tahun lalu, kata timbalan menteri

Singapura masih kawal Pulau Pisang sebab perjanjian 119 tahun lalu, kata timbalan menteri

Marzuki Yahya berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim menandatangani satu perjanjian dengan Gabenor negeri Selat, James Alexander Sweethenham pada 1900 berkaitan Pulau Pisang.

Pulau Pisang ialah pulau kecil di pantai barat daya Johor yang dikelilingi perairan Selat Melaka.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya berkata Singapura masih mengawal rumah api di Pulau Pisang yang berada dalam perairan Malaysia susulan perjanjian dengan Sultan Johor terdahulu.

“Saya difahamkan Pulau Pisang ini ada perjanjian terdahulu antara Sultan Johor dan Singapura dan ini telah diguna pakai sehingga hari ini,” katanya di dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai status pengurusan rumah api di Pulau Pisang.

“Mereka (Singapura) masih menjaga rumah api itu dari jeti Pulau Pisang ke rumah api…sedangkan Pulau Pisang milik Malaysia sehingga bila Singapura akan jaga?” soal Ahmad.

Marzuki berkata, kawalan Singapura itu tidak mencabul kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang.

“Pihak kerajaan juga akan sentiasa beri perhatian. Walaupun tentera marin Singapura mengawal di situ, tapi tidak ada sebarang perkara yang dilaporkan di mana boleh menjejaskan kedaulatan negara kita.”

Pulau Pisang ialah pulau kecil di barat daya Johor yang dikelilingi perairan Selat Melaka. Pada 1914, sebuah rumah api dibina penjajah British di puncak pulau itu yang terletak kira-kira 12km dari Pontian Kecil dan 5km dari Benut.

Sehingga kini, rumah api itu diselenggara Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura. Ia hasil perjanjian ditandatangani Sultan Johor, Sultan Ibrahim dengan Gabenor negeri Selat, James Alexander Sweethenham pada 1900.

Perjanjian itu mengakui kedaulatan Johor ke atas Pulau Pisang dan British diberikan hak menguruskan rumah api itu selama-lamanya.

Selepas Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965, hak pengurusan rumah api itu bertukar tangan kepada republik itu.

Pada November 2017, Timbalan Menteri Luar ketika itu, Reezal Merican Naina Merican dilaporkan berkata Malaysia sentiasa memberi perhatian rapi ke atas pengurusan rumah api di Pulau Pisang dan tidak teragak-agak bertindak jika wujud unsur yang mampu menggugat kedaulatan negara.

“Pulau Pisang merupakan hak mutlak kerajaan Johor.

“Kakitangan kerajaan dan rakyat Singapura yang mengendali dan menyelenggara rumah api itu perlu mematuhi peraturan dan syarat kemasukan ditetapkan kerajaan, termasuk mendaftar dengan Jabatan Imigresen di Kukup, Johor setiap kali pertukaran syif dan direkodkan.

“Proses sama digunakan setiap kali mereka meninggalkan rumah api di Pulau Pisang,” kata Reezal Merican.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.