Malaysia komited tuntut Pulau Batu Puteh di ICJ

Malaysia komited tuntut Pulau Batu Puteh di ICJ

Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya berkata kerajaan komited meneruskan semakan kehakiman ke atas kedaulatan Pulau Batu Puteh.

ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh seluas saiz separuh padang bola sepak milik Singapura pada 23 Mei 2008. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Malaysia komited mengemukakan semakan kehakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pedra Branca yang juga dikenali sebagai Pulau Batu Puteh, kata Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya.

“Berkenaan Pulau Batu Puteh, kita masih lagi komited. Tadi saya pun dah sebut kerajaan akan mengemukakan semakan penghakiman semula kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.

“Kita akan teruskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada kes itu sudah digugurkan.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh seluas saiz separuh padang bola sepak milik Singapura dan Batuan Tengah (Middle Rocks) milik Malaysia, tetapi kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge) akan ditentukan kedua-dua negara dalam rundingan berhubung sempadan perairan masing-masing.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan semakan kehakiman berhubung Pulau Batu Puteh dan memetik United Kingdom mengubah status 3 dokumen untuk menyokong permohonan itu.

Dokumen itu adalah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan operasi tentera laut dari 1960-an.

Dokumen itu yang tidak diketahui ICJ mahupun Malaysia ketika penghakiman pada 2008, ditemui di National Archives of United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.

Tetapi, pada 30 Mei 2018, Malaysia dilaporkan sah menarik diri daripada semakan kehakiman ICJ, yang pada mulanya dijadual berlangsung dari 11 hingga 22 Jun 2018.

Sehingga kini, Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) mengadakan rundingan pembatasan maritim Pulau Batu Puteh dan Batuan Tengah sebanyak 7 kali.

Mesyuarat seterusnya dijangka berlangsung di Malaysia pada Oktober ini.

Proses rundingan itu tertunda sebelum ini apabila Malaysia memfailkan semakan kedaulatan Pulau Batu Puteh ke ICJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.