
Pengurus Besar Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan Mike Orgill berkata terdapat beberapa isu mengelirukan pada masa ini termasuk pendaftaran dan kutipan cukai.
“Semua hartanah kami perlu didaftar, namun, terdapat persoalan mengenai prosesnya,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini perniagaan syarikat itu di Malaysia, hari ini.
Beliau turut menegaskan struktur cukai yang adil adalah perlu untuk memastikan persaingan setara bagi semua peserta industri.
Di bawah struktur semasa, semua jenis perkhidmatan di negara ini perlu mengutip cukai pelancongan RM10 untuk 1 malam bagi pelancong asing.
Orgill juga mengakui wujud isu pengutipan mengenai sama ada Airbnb perlu mengutip cukai bagi pihak kerajaan atau kerajaan harus mengutip cukai secara terus daripada pemilik hartanah yang disenaraikan di Airbnb.
Beliau berkata ketika ini sebahagian pemilik hartanah mengutip sendiri cukai sebelum diberikan kepada pihak berkuasa.
Orgill berkata operasi Airbnb di Malaysia merekodkan kedatangan 3.25 juta pengunjung dalam tempoh 12 bulan lepas, lonjakan 73% berasaskan tahun ke tahun.
Kebanyakan pertumbuhan Airbnb di Malaysia disokong oleh pelancong yang ingin merasai pengalaman unik dan asli di peringkat tempatan.
Pada masa ini, Airbnb mempunyai 53,000 penginapan yang tersenarai di Malaysia dan lebih 6 bilion lagi di peringkat global.