Usul wajibkan wakil rakyat isytihar harta lulus walaupun cara dipersoal

Usul wajibkan wakil rakyat isytihar harta lulus walaupun cara dipersoal

Pembangkang berdiam diri ketika undian suara dilakukan di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Usul yang dibentangkan oleh Menteri Undang-undang VK Liew itu disokong semua wakil rakyat kerajaan menerusi undian suara.

Pembangkang, yang mempersoalkan cara usul itu dibentangkan, kerana wakil-wakil rakyat tidak diberi masa secukupnya untuk meneliti usul itu, berdiam diri ketika undian dilakukan.

“Usul ini dipersetujui sebulat suara,” kata Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Yusof mengumumkan hasil undian itu.

Ahli-ahli Parlimen pemerintah dan pembangkang membahaskan usul itu sejak pagi.

Liew dalam ucapannya berkata kerajaan menerima pandangan dan kritikan yang dibangkitkan dalam perbahasan hari ini.

Beliau ketika membentangkan usul itu memaklumkan langkah itu berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan kerajaan.

“Semua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun sebagaimana yang ditetapkan oleh speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Liew berkata, akuan berkanun tersebut hendaklah dikemukakan kepada speaker dalam tempoh 3 bulan dari tarikh usul ini disetujukan dan disalinkan kepada SPRM.

Sementara itu, Liew ketika ditemui di lobi Parlimen memberitahu, ahli Parlimen yang gagal mengistihar aset dalam tempoh 3 bulan bermula hari ini, akan dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

Katanya lagi, mereka perlu mengisytihar aset dalam tempoh setiap 2 tahun.

Jika dalam tempoh itu berlaku sebarang pelupusan dan penambahan harta, mereka bebas untuk memaklumkan perkara itu kepada SPRM.

“Penyiasatan tidak akan dijalankan terhadap mereka kecuali ada aduan,” katannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.