
Beliau berkata, lombong itu disita kerana tidak mendapat skim kebenaran daripada JMG.
“Lesen kebenaran dikeluarkan oleh kerajaan negeri, manakala kebenaran atau skim melombong perlu mendapat kelulusan daripada JMG.
“Syarikat perlombongan memiliki lesen daripada kerajaan negeri, namun tidak mempunyai skim kebenaran daripada JMG,” katanya ketika ditemui di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Sebelum ini, pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aktiviti perlombongan tanpa kebenaran di Kuala Koh.
Beliau berkata, atas faktor terbabit, JMG menyita lombong itu pada 11 Jun lalu sehingga mendapat kebenaran semula (untuk melombong).
“Kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat sudah tamat tempoh pada 2017, namun aktiviti itu masih diteruskan sehingga kini,” katanya.
Dalam perkembangan lain berhubung tuntutan royalti minyak, Ahmad berkata, sehingga kini kerajaan negeri sudah memenuhi syarat dengan menarik balik saman sebagaimana yang diminta kerajaan persekutuan.
“Proses penarikan saman sudah diselesaikan di semua peringkat dan kerajaan negeri kini menunggu maklum balas daripada kerajaan persekutuan.
“Kita belum menerima apa-apa berita dan berharap kerajaan (pusat) mempercepatkan proses pembayaran wang royalti itu bagi membolehkan wang berkenaan digunakan untuk kebajikan termasuk infrastruktur, kesihatan, kebersihan, masalah air, bantuan orang kurang upaya (OKU) dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.