Terima kritikan pembangkang, tolak pihak guna ‘fatwa mengarut’, kata Mat Sabu

Terima kritikan pembangkang, tolak pihak guna ‘fatwa mengarut’, kata Mat Sabu

Ahad lalu, Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh secara terbuka berkata adalah wajib untuk menjatuhkan kerajaan PH.

Presiden Amanah Mohamad Sabu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri parti itu, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, beliau terbuka dengan kritikan daripada parti pembangkang sekiranya kritikan itu benar, tetapi membidas pihak yang menggunakan “fatwa mengarut”.

“Minggu ini fatwa wajib jatuhkan PH, minggu depan fatwa lain pula. Tahun depan fatwa lain pula. Itu parti fatwa,” katanya.

“Kalau ada fatwa mengarut itu, kita hindarkan, bahkan kita lawan parti yang selalu menurunkan fatwa itu kerana ia boleh merosakkan keharmonian yang ada di Malaysia,” katanya dalam ucapan rumah terbuka Amanah di sini, hari ini.

Ahad lepas, Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu bahawa adalah wajib menjatuhkan kerajaan PH.

“PAS berdepan dengan PH, hukumnya wajib menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika ini, hukumnya wajib.

“Perkara ini kita jangan khilaf. Kita bergerak ke depan dan jangan banyak toleh ke belakang,” katanya pada sesi ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan.

Dalam pada itu, Mohamad yang merupakan Menteri Pertahanan berkata, dulu PAS pernah berkata adalah suatu perkara yang mustahil untuk bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun katanya, Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini meluluskan usul memeterai perjanjian politik dengan Umno pula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.