
Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menerusi sebuah pasukan khas diketuai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed masih dalam proses mengumpulkan bukti.
“Ia masih dalam siasatan dan saya tidak berikan apa-apa tekanan. Mereka (pasukan khas) jalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP), serta dapat pandangan dari Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, di sini, hari ini.
Hamid turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk pasukan khas berkenaan menjalankan siasatan walaupun ia ditubuhkan sejak 17 Jun lalu.
“Tidak dapat untuk saya berikan tempoh masanya, tetapi kita berusaha untuk segera selesaikan. Dalam kes ini masih belum ada pendakwaan dibuat. Kita tidak boleh buat kerja tergesa-gesa,” katanya.
Terdahulu, Haziq berkata, beliau memutuskan untuk membuat satu video pengakuan bahawa klip video yang tular di media sosial sebelum itu melibatkan dirinya dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali kerana bimbangkan keselamatan diri beliau.
Azmin mengutuk dakwaan itu sebagai fitnah yang bertujuan membunuh kerjaya politiknya. Beliau juga membuat satu laporan “qazaf” terhadap Haziq dengan pihak berkuasa agama Islam.
Pemilihan PPBM selepas EGM
Pada majlis sama, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, ketika ditanya mengenai tarikh pemilihan parti itu, berkata, ia hanya diputuskan selepas PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 20 Julai depan.
“Kita hendak pinda beberapa fasal (perlembagaan parti), termasuk cara-cara pemilihan kerana tidak jelas dalam perlembagaan yang ada. Kita hendak perjelaskan lagi tempoh masa dan perkara lain, serta masukkan beberapa cadangan lagi,” katanya.
Menurut Muhyiddin, selepas keputusan dibuat menerusi EGM, PPBM akan menghantar notis maklumat parti kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai perkembangan parti.
“Kita akan bawa ke JPPM untuk putuskan, yang penting kita berpegang pada prinsip demokrasi. Sebelum kita laksanakan pemilihan, kita akan perkemaskan perlembagaan parti.
“Selepas itu barulah kita akan adakan pemilihan di cawangan, bahagian dan peringkat Majlis Tertinggi. Kita kemaskan perlembagaan, supaya tidak berbangkit masalah sewaktu pemilihan,” katanya.