Polis: Keterangan pegawai penyiasat dalam inkues kematian dalam tahanan akan disiasat

Polis: Keterangan pegawai penyiasat dalam inkues kematian dalam tahanan akan disiasat

Inkues di Mahkamah Koroner Rabu lepas, menyaksikan pegawai penyiasat, Shahruddin Rajab, memberi tahu bahawa rekod perubatan dan pendaftaran masuk 2017 telah dilupuskan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, siasatan akan dibuat tanpa menjejaskan prosiding inkues yang sedang berjalan.
KUALA LUMPUR:
Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung keterangan pegawai penyiasat, dalam satu prosiding inkues Rabu lepas melibatkan kes kematian tahanan dalam lokap pada 2017.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat Koordinator Program Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Mohammad Aishatri Abdullah, pada hari yang sama berkaitan perkara itu dan siasatan akan dibuat tanpa menjejaskan prosiding inkues yang sedang berjalan.

“Polis juga meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa sumber sahih kerana dikhuatiri menganggu siasatan pihak polis serta prosiding inkues yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Semalam 2 kumpulan, iaitu Suaram dan ‘Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan’ (Edict) mendakwa polis memusnahkan bukti penting, seperti rakaman kamera litar tertutup dan rekod penting berhubung inkues berterusan berhubung siasatan lelaki yang mati dalam tahanan di lokap polis Jinjang.

Inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner Rabu lepas, menyaksikan pegawai penyiasat (IO), Shahruddin Rajab memberi keterangan bahawa rekod perubatan dan pendaftaran masuk untuk 2017 telah dilupuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.