Muhyiddin pertahan lantikan pasukan petugas khas siasat kehilangan Amri, Koh

Muhyiddin pertahan lantikan pasukan petugas khas siasat kehilangan Amri, Koh

Keluarga Amri dan Koh sebelum ini berkata anggota polis yang terlibat dalam inkuiri Suhakam tidak sepatutnya dilantik menyertai pasukan petugas khas.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin (tengah) berkata, anggota pasukan petugas khas ramai dan tidak boleh dipengaruhi seorang individu.
KUALA LUMPUR:
Pelantikan bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM Mokhtar Mohd Noor dalam pasukan petugas khas menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat tidak akan menjejaskan kredibiliti siasatan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, Mokhtar hanya hadir dalam satu sesi semasa inkuiri menyiasat kehilangan individu berkenaan yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan tidak terlibat secara langsung.

“Saya dengar (keluhan mereka). Saya yakin ia tidak menjejaskan pasukan petugas khas. Beliau (Mokhtar) ada hadir dan cuma terlibat sekali semasa sesi itu. Lebih dariada itu tidak ada. Keanggotaan ramai, seorang sahaja tidak boleh pengaruhi.

“Lagipun, pengerusinya adalah bekas hakim di Mahkamah Tinggi. Saya yakin sepenuhnya. Beri mereka ruang untuk jalankan tugas,” katanya dalam sidang media, selepas melancarkan Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga aktivis Amri dan Koh tidak bersetuju dengan pemilihan anggota pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat kehilangan ahli keluarga mereka.

Mereka antara lain mengecam pelantikan Mokhtar dan menegaskan anggota polis yang terlibat dalam inkuiri Suhakam sebelum ini tidak sepatutnya dilantik menyertai pasukan petugas khas itu.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin mendakwa unit diketuai Mokhtar “terlibat dalam siasatan penuh penculikan Amri dan turut berada dalam pasukan yang mewakili polis dalam inkuiri Suhakam”.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan pelantikan 6 individu sebagai anggotai pasukan petugas khas berkenaan.

Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda; bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM, Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Zamri Yahya; Pengarah Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria, dan setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Inkuiri Suhakam sebelum ini menyimpulkan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan Amri dan Koh.

Amri, pengasas pertubuhan Perlis Hope hilang pada 24 Nov 2016, sementara Koh pada 13 Feb 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.