
Timbalan menterinya, Hannah Yeoh berkata, cuti paterniti yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia untuk golongan bapa di sektor swasta perlu dilaksanakan kerana mereka perlu memainkan peranan bagi meringankan beban ibu yang baru melahirkan anak.
“Apabila para ibu melahirkan anak, apatah lagi secara pembedahan yang sudah tentu memerlukan pertolongan dan penjagaan daripada golongan bapa, ia akan memberi tekanan kepada wanita sekiranya perlu melakukan pelbagai urusan seorang diri.
“Jika mereka mempunyai anak yang lain untuk dijaga, sudah tentu para ibu tidak mampu menangani seorang diri. Jadi, majikan perlu menimbang mengenai perkara itu kerana dari sudut kekeluargaan, adalah penting isteri yang baru melahirkan anak mendapat sokongan daripada golongan suami,” katanya.
Yeoh berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Perak, Nomee Ashikin Mohamed Radzi di Sekolah Semangat Maju di sini, hari ini.
Pada 20 Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan cuti paterniti selama 3 hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta melalui pindaan Akta Kerja 1955.
Timbalan menterinya, Mahfuz Omar berkata, draf pindaan di bawah Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
Bagaimanapun, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama 3 hari kepada pekerja sektor swasta atas alasan ia memberi kesan kepada kos operasi syarikat.
Pada masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak dari segi perundangan untuk cuti paterniti, manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati 7 hari cuti paterniti bergaji.