Laporan: Maju Holdings kemuka tawaran baru ambil alih PLUS

Laporan: Maju Holdings kemuka tawaran baru ambil alih PLUS

Maju Holdings memang berminat untuk mengambil alih PLUS dan telah membuat tawaran tersebut sejak pertengahan 2017.

Laporan media menyebut tawaran Maju Holdings untuk mengambil alih PLUS bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi.
PETALING JAYA:
Maju Holdings Sdn Bhd mengemukakan tawaran baru untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd, lapor The Edge.

Ia berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan spekulasi bahawa pengerusi eksekutif Maju, Abu Sahid Mohamed membuat cadangan itu.

Mahathir berkata, Maju merupakan satu-satunya pihak yang mengemukakan cadangan tersebut.

The Edge melaporkan hanya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang menentang ambil alih itu, boleh menghalang Abu Sahid dan Maju.

Ia melaporkan sebab di sebalik bantahan Lim itu tidak diketahui.

Maju memang berminat untuk mengambil alih PLUS dan telah membuat tawaran tersebut sejak pertengahan 2017.

Pada waktu itu kerajaan berkata, ia tidak pasti sama ada cadangan tersebut disokong dengan sumber kewangan “yang jelas dan kukuh”, menurut laporan itu lagi.

Sebaik sahaja selepas tawaran berkenaan dibuat, UEM dan EPF dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka tidak mempunyai niat untuk menjual pegangan masing-masing dalam PLUS.

The Edge berkata, Maju mengemukakan 4 tawaran kepada kerajaan dan kesemuanya bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan yang dijangka tamat pada 2038.

Pengerusi eksekutif Maju Holdings, Abu Sahid Mohamed.

Maju mencadangkan pengurangan kadar tol sebanyak 25% bagi mendapatkan pelanjutan tempoh konsesi 10 tahun atau pengurangan 30% jika tempoh konsesi dilanjutkan selama 15 tahun sehingga 2053.

Ia juga menawaran pengurangan kadar tol 33% jika tempoh konsesi dilanjutkan kepada 20 tahun atau pengurangan 36% kadar tol untuk pelanjutan tempoh konsesi 30 tahun hingga 2068.

The Edge bagaimanapun berkata, Maju mahu kerajaan mengekalkan jaminannya ke atas struktur hutang PLUS sepanjang tempoh konsesi serta lanjutannya.

Maju juga bercadang membelanjakan RM5.3 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi memasang lampu jalan sepanjang lebuh raya itu, kata The Edge.

PLUS bukan sahaja mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan, tetapi juga Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utara-Selatan, Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Baru-baru ini Lim mengumumkan bahawa kerajaan membuat tawaran bernilai RM6.2 bilion bagi mengambil alih 4 konsesi lebuh raya bertol.

Gamuda Bhd dilaporkan menerima tawaran Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk membeli kesemua pegangan kumpulan itu dalam 4 syarikat konsesi.

Gamuda mempunyai 44% pegangan dalam Litrak, 52% dalam Sprint, 70% dalam Kesas dan 50% dalam SMART. Mereka mengendalikan lebuh raya Kesas, LDP, Sprint dan Smart.

Lim berkata, caj kesesakan akan dikenakan bagi menggantikan tol, dan tiada bayaran tol akan dikenakan pada awal pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.