
Beliau berkata, ia tidak memeranjatkan kerana kumpulan itu yang terdiri daripada pemberita akhbar berbahasa Cina “selalu menyerangnya”.
Katanya, keadaan itu juga merupakan penyebab sengketa antara beliau dengan beberapa pemberita akhbar Cina di Pulau Pinang, yang bersikap menentangnya.
Lim berkata, ada masanya beliau berasa akan kalah dalam pilihan raya umum memandangkan laporan negatif akhbar Cina terhadapnya.
“Pemberita mesti sikap neutral dalam laporan mereka.
“Jika kamu terima wang (daripada 1MDB), bagaimana laporan kamu akan neutral?
“Ia masa sukar bagi saya. Saya fikir akan kalah angkara laporan akhbar berbahasa Cina.
“Tetapi saya sabar, dan rakyat mempercayai saya, bukan pemberita dan akhbar tertentu. Hari ini laporan mereka lebih baik dan lebih adil.
“Kita perlu membersihkan industri akhbar. Mereka mesti bebas kerana mereka merupakan cabang ke-4 kerajaan,” katanya pada satu sidang media di pusat khidmat beliau di sini, hari ini.
Lim memberi respons terhadap laporan 3 kumpulan pemberita di Pulau Pinang menerima wang berjumlah RM150,000 daripada badan berkaitan 1MDB sebelum pilihan raya umum Mei 2013.
Koperasi milik MCA, Kojadi juga didakwa menerima dana RM15 juta daripada Yayasan 1MDB bagi menyediakan kemudahan mikro-kredit kepada anggotanya.
Salah satu kumpulan pemberita terbabit memberitahu FMT bahawa ia bercadang untuk mengembalikan wang RM50,000 yang diterimanya daripada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang.
Ini berikutan pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lepas mengenai saman sivil pelucutanhak agensi itu terhadap 41 individu dan entiti, selain tindakan sama ke atas pihak lain yang menerima dana 1MDB.
Lim hari ini menggesa pihak yang menerima wang daripada 1MDB supaya mengembalikannya ke akaun khas yang diwujudkan oleh Kementerian Kewangan.
Katanya, ia bagi mengelakkan tindakan pelucutanhak sivil diambil oleh agensi pencegahan rasuah itu ke atas mereka.
“Pulangkan wang 1MDB segera. Lebih baik, hubungi Kementerian Kewangan dan beritahu bahawa anda mahu kembalikan wang (1MDB) ke akaun berkenaan.
“Jika anda kembalikan wang itu, ia menunjukkan kejujuran anda,” katanya, selain menyebut pihak yang berdegil untuk tidak memulangkan wang berkenaan sebagai tidak jujur.
“SPRM boleh memfailkan saman sivil dan akaun anda dibekukan. Anda perlu pergi ke mahkamah.”
Dalam perkembangan lain, Lim membidas presiden Gerakan, Dominic Lau yang mendesak kerajaan supaya meminta Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal turut mengembalikan wang 1MDB yang diterima mereka.
Lim berkata, kenyataan Lau menunjukkan pembangkang telah “hilang akal” kerana 3 bekas anggota Barisan Nasional (BN) itu tidak pernah menerima wang secara langsung ke akaun peribadi mereka.
“Parti pembangkang telah ‘hilang akal’. Pemimpin ini tidak terima wang (secara langsung), tetapi mereka didesak kembalikan wang kepada kerajaan.
“Tetapi mereka yang terima wang tak perlu kembalikannya? Esok lusa mereka desak Guan Eng supaya kembalikan wang pula,” katanya.
Dana Kojadi
Lim juga merujuk kepada Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi) milik MCA, yang diketahui memberi pinjaman pelajaran kepada pelajar yang layak, yang seolah-olah menolak untuk mengembalikan dana RM15 juta yang didakwa diberikan oleh Yayasan 1MDB.
Lim berkata, Kojadi dihalang daripada mengembalikan wang itu oleh Presiden MCA Wee Ka Siong.
“Kenapa presiden MCA halang Kojadi daripada kembalikan wang? Adakah ini kerana beliau juga terima sebahagian wang tersebut?”
Kojadi menerima “geran kewangan” sebanyak RM15 juta daripada Yayasan 1MDB bagi melaksanakan skim mikro-kredit sosio ekonomi yang dinamakan Skim Mikro Kredit Kojadi untuk Belia.
Semalam akhbar melaporkan, lembaga pengarah Kojadi berkata, geran RM15 juta itu “tidak ada kaitan” dengan akaun bekas perdana menteri Najib Razak.