PPBM akan pinda perlembagaan sebelum pemilihan, kata Marzuki

PPBM akan pinda perlembagaan sebelum pemilihan, kata Marzuki

Marzuki berkata pindaan akan dilakukan menerusi mesyuarat agung dan akan melibatkan perubahan besar beberapa klausa.

Marzuki Yahya.
MELAKA:
PPBM akan memperkukuhkan perlembagaan sedia ada menerusi proses pindaan yang dijangka dilakukan pada bulan hadapan sebelum melaksanakan pemilihan parti itu, kata Setiausaha Agung Marzuki Yahya.

Beliau berkata pindaan perlembagaan yang akan dilakukan menerusi mesyuarat agung itu akan melibatkan perubahan besar beberapa klausa dalam perlembagaan sedia ada.

“Pindaan perlembagaan ini penting untuk parti sebelum kita ingin menetapkan tarikh pemilihan cawangan dan bahagian.

“Jadi kita tidak mahu media terlalu fokus tentang pemilihan Bersatu kerana sebagai parti yang baru berusia kira-kira 2 tahun, masih banyak perlembagaan yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan rumah terbuka Aidilfitri PPBM Melaka hari ini.

Beliau mengulas pendapat Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad bahawa pemilihan yang sepatutnya diadakan tahun ini tidak akan ditangguhkan.

Semalam Bernama melaporkan pemilihan Bersatu perlu diadakan lebih awal kerana pentadbiran parti itu ketika ini berasaskan kepada pemimpin yang dilantik.

Turut hadir Ketua Menteri Adly Zahari dan Ketua PPBM Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof.

Marzuki bersetuju dengan pendapat Mahathir bahawa pemilihan parti itu perlu segera dilakukan bagi memilih pimpinan baru yang lebih agresif, memahami dan memberi komitmen untuk mengembangkan parti berkenaan.

“Saya akan mencari kaedah mempercepatkan pemilihan parti kerana apa yang kita hadapi sekarang ini ialah ramai dalam kalangan pemimpin bahagian yang kita lantik sebelum ini kurang menunjukkan komitmen, terutama untuk memperhebatkan keahlian dan ada juga bahagian yang menyekat keahlian serta mengekang penubuhan cawangan,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu tidak bagus untuk PPBM kerana ia membantutkan perkembangan parti berkenaan yang kini mencecah hampir 500,000 ahli dengan lebih 2,000 cawangan dan 198 bahagian termasuk di Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.