
Semua orang tahu jika kentut berlaku pasti akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.
Namun sebuah syarikat di Perancis mendakwa berjaya mencipta pil yang membuatkan kentut berbau harum.
Pil berkenaan dihasilkan Christian Poincheval yang menetap di pekan barat negara itu dan mendakwa ia boleh menukar kentut yang busuk menjadi wangi seperti bau bunga mawar atau coklat.
Beliau mendakwa sudah menghasilkan pil itu sejak 2007.
Malah laman web syarikat berkenaan mendakwa, pil itu dihasilkan daripada bahan organik sepenuhnya dan tidak berasaskan perubatan atau dadah sama sekali.
“Pil Kentut ini adalah hasil penyelidikan dan percubaan dan sudah dijual sejak 2007.
“Pelbagai wangian juga dihasilkan bagi menyesuaikan dengan sebarang keadaan.
“Ramai pelanggan yang kembali mendapatkan produk adalah bukti terbaik,” dakwa laman web berkenaan.
Poincheval ketika ditemubual akhbar Telegraph beberapa tahun lalu berkata beliau memutuskan untuk cuba menghasilkan produk itu susulan satu kejadian majlis makan malam dicemari bau kentut busuk.
“Bau kentut amat busuk, kami hampir lemas. Sesuatu perlu dilakukan,” katanya.
Tambahnya, bagi membuktikan hasil kajiannya berjaya apabila pelanggan pelbagai peringkat umur membeli produknya terutama apabila tiba musim perayaan.
“Saya ada pelbagai pelanggan. Ada yang membelinya kerana mereka bermasalah dengan kentut.
“Sebahagiannya membeli sebagai bahan jenaka untuk diberikan kepada rakan. Penjualan meningkat pada musim Krismas,” katanya.
Sumber: Agensi
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]