
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata setakat ini, keseluruhan industri makanan dan minuman di Sarawak menyambut baik liberalisasi dasar itu.
Beliau berkata ini memandangkan langkah berkenaan mengurangkan kos pengeluaran mereka secara ketara, dengan penjimatan kira-kira RM1,000 bagi setiap 1 tan gula.
“Permit import (AP) diberikan secara terus kepada pembuat makanan dan minuman, tanpa sebarang transaksi orang tengah atau memanipulasikan dasar awam ‘Ali Baba’ yang menjadi amalan pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Industri gula merupakan industri kecil. Sektor lain seperti industri beras, perubatan dan bekalan peralatan perubatan, industri telekomunikasi dan sebagainya, semuanya memberi kesan besar kepada kehidupan kita seharian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chong berkata sebuah syarikat pembuat makanan dan minuman di Sarawak memperoleh lesen import gula pada akhir 2018 selepas memohon pada awal tahun berkenaan.
Lapan pengeluar makanan dan minuman lagi kemudiannya membuat permohonan dan menerima AP yang diluluskan untuk mengimport gula pada Jun tahun ini, katanya.
Mengenai permohonan AP gula, beliau berkata mana-mana pembuat makanan dan minuman boleh memohon AP berkenaan daripada kementerian itu.
Tiada sebarang halangan atau tarikh akhir bagi permohonan berkenaan, kecuali gula yang diimport untuk kegunaan pemohon bagi tujuan pengeluaran.
Sebelum liberalisasi dasar itu diperkenalkan, 2 syarikat penapis gula di Semenanjung Malaysia, iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) menikmati hak eksklusif untuk membekal gula ke seluruh negara.