
Presiden Warisan itu mengakui terdapat bantahan keras terhadap projek mega itu, kebanyakannya daripada NGO tetapi “apa yang penting bagi kami adalah melihat kepentingan semua pihak”.
“Saya tak kata kami mahu menghentikan projek itu. Saya kata kita perlu mengkaji di mana ia dapat memberi manfaat kepada rakyat terbanyak, itulah sebabnya kita mengecilkan projek itu.
“Jika anda perhatikan rancangan sebelum ini, kami sudah menyesuaikannya, termasuk tempat sebuah sekolah, yang kami mahu ia ditempatkan semula di kawasan lain.
“Pantai Pertama tidak akan disentuh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya di Wisma Muis hari ini.
Menteri Pembangunan Prasarana Sabah, Peter Anthony dalam ucapannya pada satu majlis sebelum ini berkata Empangan Papar diperlukan bagi memenuhi permintaan air yang tinggi di masa depan, termasuk TAED.
Anthony berkata kerajaan mengakui pembinaan empangan itu mendapat tentangan orang ramai tetapi ia satu-satu cara menangani keperluan air Sabah di masa depan.
Kelulusan untuk kedua-dua projek itu dikritik NGO dan parti-parti pembangkang.
Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah menggambarkan putaran haluan itu suatu “pengkhianatan” terhadap rakyat Sabah.
Setiausaha Agung SAPP, Richard Yong We Kong membidas Warisan, mengatakan mereka sudah memungkiri ikrar pilihan raya.
Beliau juga mengkritik Timbalan Ketua Menteri Christina Liew dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Junz Wong, mengatakan Liew dan Wong berulang kali berjanji TAED akan dibatalkan jika mereka mengambil alih kerajaan.
Semalam, Wong juga nafi dia menentang TAED. Beliau memberitahu media tempatan bahawa kerajaan tidak boleh menggugurkan projek itu kerana pentadbiran lepas sudah membelanjakan RM90 juta untuk penilaian kebolehlaksanaan dan kesan alam sekitar.
Jika digugurkan, semua wang yang dibelanjakan itu akan membazir, katanya.
Beliau dipetik media tempatan pada Februari 2017 sebagai berkata projek itu akan dihentikan jika Warisan diberi mandat.
Mengenai Empangan Papar, Shafie berkata ada keperluan untuk meneruskan projek itu kerana ia akan membekalkan air dan menjana elektrik untuk Papar, Penampang dan ibu negeri.
“Kita perlu kaji dengan serius di mana ia boleh memanfaatkan negeri secara keseluruhan dan bukan kawasan tertentu sahaja.”
Beliau berkata keputusan ini mungkin sukar diterima orang ramai buat masa ini.
“Saya percaya pada satu peringkat ramai orang membantah Empangan Bakun tetapi ia kini membekalkan elektrik kepada Brunei dan Sabah.
“Sarawak meraih hasil daripada apa yang dilakukan sebelum ini. Ia satu langkah yang berani kerana mereka tahu ia akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang,” kata Shafie.
Beliau mengumpul maklum balas daripada Adun Moyog, Jenifer Lasimbang dan Adun Kepayan, Jannie Lasimbang, kerana kawasan mereka terletak dalam Parlimen Penampang.
“Ada pertimbangan-pertimbangan yang wakil-wakil rakyat mahu kita kaji tetapi kita tidak boleh mencapainya demi kepentingan orang terbanyak,” katanya.
Projek TAED yang dikonsepkan pentadbiran lepas pada permulaannya dijangka menelan belanja RM7.1 bilion dan sepatutnya menjadi milik penuh kerajaan negeri.
Matlamatnya untuk menaikkan profil pelancongan eko Sabah, menarik pelaburan dan menangani masalah pencemaran dan kehakisan di kawasan Tanjung Aru.
Sebahagian besar daripada TAED terletak di atas tanah yang ditebus guna dan akan menempatkan 4,500 pangsapuri, 150 vila, 475 rumah teres, 6 hotel dan kawasan runcit seluas 60,000 meter persegi.