
ANTANANARIVO (Madagascar): Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 75 yang lain cedera dalam insiden rempuhan ketika sambutan hari kemerdekaan Madagascar pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Setiausaha Gendarmerie Madagascar Richard Ravalomanana berkata, insiden berlaku di stadium Mahamasina, lokasi berlangsungnya acara sempena meraikan hari kemerdekaan ke-59 Madagascar.
Presiden Madagascar Andry Rajoelina dan rakan sejawatannya dari Rwanda Paul Kagame pada sidang akhbar di istana presiden mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Rajoelina berkata kerajaan akan menampung kos rawatan hospital untuk mangsa yang cedera.
Insiden rempuhan pernah berlaku di stadium sama ketika perlawanan bola sepak antara Madagascar dan Senegal pada 9 September 2018, menyaksikan seorang maut dan 47 yang lain cedera.