
Lim menjelaskan kos pengambilan itu, iaitu sebanyak RM6.2 bilion, akan dibayar balik sepenuhnya daripada pungutan caj kesesakan.
“Ini berbanding dengan kos pampasan sebanyak RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuhraya-lebuhraya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim merujuk kepada tawaran membeli saham-saham Gamuda Bhd dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) dalam syarikat-syarikat konsesi yang mengusahakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Terowong SMART).

“Kerana penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion untuk membekukan kadar tol di 4 lebuh raya tersebut,” katanya.
Lim turut menjawab persoalan kenapa pengambilalihan diteruskan sedangkan perjanjian konsesi-konsesi berkenaan akan tamat dalam tempoh 9 hingga 23 tahun.
Menteri berkata tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian sedia ada.
“Setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja, tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan,” katanya.
Mengenai tawaran kerajaan, Lim berkata tawaran bersyarat itu, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang 4 pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, masih tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri.
Beliau menambah tawaran tersebut dibuat selepas melalui ketekunan wajar oleh perunding perbankan profesional, dan sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya, “untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol, bagi meringankan beban yang dipikul rakyat”.