
“Saya sangat tidak berpuas hati dengan seorang yang dilantik ke pasukan petugas itu,” kata Norhayati Ariffin kepada FMT.
Beliau mendakwa anggota berkenaan, Mokhtar Mohd Noor, yang sebelum ini mengetuai jabatan undang-undang polis, terlibat secara langsung dalam siasatan ke atas kehilangan Amri.
Beliau menambah Mokhtar dilibatkan apabila pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen memindahkan kes itu ke Bukit Aman.
Pada ketika itu, dia masih mempengerusikan jabatan undang-undang di situ, katanya.
Beliau menambah Mokhtar juga mewakili Bukit Aman di inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Jelas sekali Mokhtar seorang pihak berkepentingan dan oleh itu percanggahan kepentingan.”
“Saya dan anak-anak berasa lega kerajaan akhirnya mengambil langkah menangani dapatan inkuiri Suhakam yang sangat serius itu, termasuk susulan kepada keterangan-keterangan mengenai penglibatan Cawangan Khas dalam penculikan Amri dan Raymond Koh.
“Bagaimanapun, kami amat khuatir dengan keanggotaan pasukan petugas itu dan bagaimana ia boleh memberi kesan pada kebebasan dan kesaksamaaan yang perlu untuk suatu penyiasatan yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Amri adalah pengasas sebuah badan kebajikan, Perlis Hope.
Isterinya mendakwa 5 kenderaan menghalang kereta suaminya sebelum dia dibawa pergi.
Beliau berkata penubuhan pasukan petuga situ tidak mengurangkan kesedihaan dan penderitaan yang dia dan anak-anak alami akibat tingkah laku polis dalam siasatan ke atas kehilangan Amri.
Beliau menambah kerajaan belum respon kepada permintaan pampasan pada 31 Mei lalu.
Kerajaan menambahkan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas untuk menyusuli dapatan Suhakam mengenai penglibatan Cawangan Khas dalam kehilangan Amri dan Koh.
Selain Mokhtar, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria; dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.
FMT sedang mendapatkan reaksi Mokthar.
Mahu pasukan seimbang
Sementara itu, keluarga Pastor Raymond Koh turut mempersoalkan keanggotaan pasukan petugas itu, kerana ia tidak seperti yang dicadangkan pihaknya.
Pihak keluarga berkata, cadangan memasukkan wakil Majlis Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sebuah NGO, yang akan mencerminkan suatu pasukan yang seimbang, bebas, telus dan boleh dipercayai orang ramai tidak diambil kira.
“Pihak keluarga kesal 3 daripada 6 anggota pasukan petugas itu adalah pegawai polis,” katanya dalam kenyataan.
Pihak keluarga yang berkata jika Mokhtar boleh dilantik ke pasukan itu, maka peguam mewakili keluarga-keluarga terkesan juga patut dilantik bagi memastikan pendekatan yang seimbang dan adil dalam siasatan dan laporannya.
Mereka juga menggesa menteri dalam negeri membenarkan pasukan itu menyiasat kes kehilangan Amri dan Koh secara bersama kerana terdapat keterangan, modus operandi dan kenderaan serupa.
“Serta seorang pegawai polis yang sama dari Bukit Aman ditugaskan untuk melakukan siasatan,” katanya.