Dr M ingatkan pemimpin fahami derita rakyat

Dr M ingatkan pemimpin fahami derita rakyat

Perdana menteri berkata terdapat pemimpin yang meskipun daripada golongan biasa tetapi mengabaikan penderitaan rakyat.

Mahathir Mohamad memuji isterinya, Siti Hasmah kerana bersamanya ‘di saat turun naik perjalanan hidup’.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan para pemimpin agar memahami penderitaan hidup rakyat, dan membidas ketidakpedulian yang ditunjukkan segelintir orang.

“Kadang-kala, apabila seorang pemimpin itu datang daripada golongan aristokrat, autokratik dan berketurunan diraja, mereka berkecenderungan untuk tidak memahami penderitaan orang biasa,” katanya ketika berucap di program “It’s Not Just My Voice, It’s My Story” di Arena Axiata malam tadi.

Mahathir juga menegur para pemimpin yang meskipun daripada golongan biasa tetapi mengabaikan penderitaan rakyat.

“Salah satu aspek kepimpinan yang seringkali diabaikan, adalah kemampuan untuk merasakan orang biasa,” katanya.

Mahathir seterusnya berkongsi pengalamannya berdikari daripada usia remaja dengan lebih 1,000 hadirin di arena itu, dan berkata kesusahan dan kerja keras mengajarnya tentang kesukaran orang lain.

“Apabila saya mendapat kedudukan kuasa, saya menyedari bahawa tidak semua orang mampu mencari peluang,” katanya.

“Kadang-kadang mereka yang berkuasa harus membantu rakyat dalam mencari jalan mereka, dengan menjunjung prinsip beri mereka joran, bukannya ikan,” katanya.

Mahathir turut menyentuh mengenai isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mengatakan dia berasa untung mempunyai Hasmah bersamanya “di saat naik turun perjalanan hidup” sepanjang 63 tahun mereka berkahwin.

“Saya tidak tahu bagaimana Hasmah bersabar dengan saya setiap waktu, tetapi dengan adanya Hasmah, kehidupan saya menjadi lebih baik,” katanya disembut tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Selain Hasmah, turut hadir di acara malam tadi adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.