Ahli politik, akademik nafi sekolah vernakular punca perpecahan kaum

Ahli politik, akademik nafi sekolah vernakular punca perpecahan kaum

Ia selepas ahli PAS menggesa penghapusan sekolah vernakular dan mendakwa sekolah itu tidak mendekatkan kepada jurang persefahaman antara kaum.

Perpecahan kaum tidak semestinya disebabkan oleh sistem pendidikan terutama di sekolah vernakular.
PETALING JAYA:
Ahli PAS Salamiah Md Noor dikritik berhubung kenyataannya bahawa sekolah vernakular patut dihapuskan kerana ia tidak menyumbang kepada perpaduan kaum, di mana ahli politik dan akademik berkata tidak ada bukti sekolah itu penyebab kepada perpecahan di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail, ahli politik DAP Dr Boo Cheng Hau dan Profesor Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata sistem pendidikan semata-mata tidak boleh dipersalahkan berhubung kurangnya perpaduan kaum.

Tariq memberitahu FMT bahawa perpaduan adalah “mindset” yang dipupuk dari rumah.

Beliau berkata sekolah vernakular mempunyai hak untuk wujud tetapi menambah ia perlu dibiayai secara persendirian.

Peruntukan kerajaan sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kemahiran guru di sekolah kerajaan dan menaik taraf sekolah kebangsaan, katanya.

Beliau berkata sekolah kebangsaan dipolitikkan sehingga kanak-kanak “keliru sama sekali apabila mereka menamatkan persekolahan dan menjadi dewasa”.

Sekolah kebangsaan perlu menjadi lebih berdaya saing daripada sekolah vernakular dan antarabangsa, dan pembelajaran bahasa kedua mesti diwajibkan, katanya.

Tariq menambah jika sekolah kebangsaan boleh dijadikan lebih baik berbanding sekolah vernakular, ibu bapa akan memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Salamiah berkata sekolah vernakular tidak mendekatkan kepada jurang persefahaman antara kaum, dan bahasa Mandarin tidak sepatutnya menjadi bahasa kedua untuk rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Boo berkata sekolah vernakular mempunyai murid dari pelbagai kaum.

“Sebagai contoh, sekarang terdapat 70,000 murid bukan Cina yang bersekolah di sekolah Cina di mana bahasa Mandarin, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris diajar. Persefahaman antara kaum sebenarnya berlaku di sekolah vernakular.”

Beliau menggesa ibu bapa Melayu menggalakkan anak-anak mereka belajar bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan Tamil serta penduduk asli yang lain, mengatakan pendidikan berbilang bahasa akan menggalakkan perpaduan.

“Di Afrika Selatan, Kanada dan Amerika Syarikat, sistem pendidikan monolingual ditinggalkan dan sistem multibahasa yang serupa diamalkan di Switzerland, dan ia menunjukkan peningkatan dalam perpaduan.”

Sementara itu Teo berkata tidak mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata perpecahan tidak semestinya disebabkan oleh sistem pendidikan.

Beliau menambah dakwaan mengenai apa-apa yang dikaitkan dengan perpecahan dan sekolah vernakular, terutama sekolah Cina, adalah “samar dan tidak meyakinkan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.